Berita

PAS tetap pertahan kerusi DUN Sungai Limau yang didominasi sejak 1995 dan waspada kempen fitnah jahat BN

JERAI, 22 OKTOBER: Kemenangan calon PAS, Ustaz Mohd Azam Abd Samad pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Kedah penting sebagai mesej jelas kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) bahawa rakyat mahukan perubahan.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang ketika berucap malam tadi mengingatkan bahawa UMNO-BN akan terus menggunakan taktik kotor dan lapuk dengan memainkan sentimen perkauman dan agama untuk menakut-nakutkan orang Melayu.

Beliau juga mencabar UMNO/BN untuk mengemukakan bukti bahawa DAP anti Islam dan anti Melayu seperti yang sering dipropagandakan media dan pemimpin mereka.

lks (13)“Sampai sekarang tidak ada bukti ditunjukkan. Di kawasan Cina mereka kata DAP menjadi alat PAS, di kawasan Melayu pula mereka kata PAS menjadi alat DAP. Siapa yang gunakan siapa?

“Bagaimanapun, itu semua tidak benar. Pengundi perlu berhati-hati dan tidak terpengaruh dengan kempen fitnah BN terhadap rakan parti di dalam Pakatan Rakyat (PR),” katanya.

Sambil menaruh harapan bahawa PAS mampu mempertahankan DUN Sungai Limau, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, tema ‘kekal’ yang akan digunakan PAS untuk PRK ini sangat bertepatan pada masanya.

“Kami yakin PAS dengan calon yang dipilih ini akan kekal mempertahan di kerusi DUN Sungai Limau.

“Kemenangan kami merupakan satu isyarat yang amat jelas untuk kita membuat perubahan pada PRU-14 nanti,” ujar beliau.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali pula berkata, kemenangan PAS pada PRK DUN Sungai Limau amat penting sebagai isyarat supaya kerajaan BN tidak terus membebankan rakyat.

Katanya, kemenangan ini juga merupakan satu ‘amanah kedamaian’ yang berterusan setelah sekian lama diperjuangkan Allahyarham Tan Sri Azizan Abd Razak.

“Kami daripada PKR akan berkampung mulai hari ini hingga hari pengundian untuk berkempen supaya kerusi DUN Sungai Limau terus kekal di tangan PAS.

“PKR yang akan diketuai Datuk Johari Abdul akan melaksanakan tugas mereka selari dengan apa yang dikehendaki PAS dan kita turut meletakkan beberapa individu yang mempunyai kepakaran agar serangan kita terhadap BN berjalan lancar,” jelas beliau.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan bahawa hari penamaan calon PRK Sungai Limau pada 23 Oktober (esok) manakala hari membuang undi pada 4 November ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, kerusi DUN Sungai Limau dimenangi Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak apabila menewaskan calon BN Fazillah Mohd Ali dengan majoriti 2,774 undi. Kerusi DUN Sungai Limau didominasi PAS sejak 1995.-Roketkini.com