Berita

Pengaruh Mahathir kian kendur, ‘Generasi Z’ bakal kuburkan UMNO

KUALA LUMPUR, 22 OKTOBER: Pengaruh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semakin kendur dan dibuktikan apabila anaknya, Mukhriz Mahathir tewas dalam perebutan jawatan seorang daripada tiga Naib Presiden UMNO.

Malah, telahan itu juga dapat dilihat pada pemilihan UMNO lalu apabila Mukhriz juga gagal dalam perebutan jawatan Ketua Pemuda UMNO kepada Khairy Jamaluddin.

“Nampaknya, UMNO tidak mahu lagi dengar cakap Mahathir. Lebih elok Mahathir menyokong gerakan yang benar-benar mahu menyelamatkan Malaysia daripada pemimpin UMNO yang tamak haloba.

“Beliau boleh menebus segala salah laku selama 22 tahun sebagai PM dengan bersama menyelamatkan Malaysia. Masih ada masa untuk Mahathir berbuat demikian,” demikian kata Ahli Parlimen DAP Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz dalam tulisannya mengulas kemerosotan pengaruh Mahathir dalam UMNO.

Menurut beliau, kekalahan Mukhriz merupakan satu tamparan hebat kepada Mahathir dan ia adalah kejayaan pengaruh Perdana Menteri, Najib Razak ‘membunuh’ pengaruh Mahathir.

“Macam mana saya tahu? Sebab saya bekas Ketua Penerangan Najib dahulu dan saya tahu memang ini cara Najib. Najib akan pujuk dengan pelbagai umpan dan konsesi. Mahathir apa yang dia boleh tawarkan? Dia bukan lagi PM,” katanya.

Duit sebagai mainan dalam Pemilihan Agung UMNO

Bersetuju dengan pandangan beberapa tokoh akademik dan penganalisis politik, Mohd Ariff Sabri berkata, politik wang telah menjadi budaya yang begitu subur dalam UMNO.

sakmonkol-teck-IMG_8518 (2)“Tidak ada yang demokratik dengan membabitkan 146,500 perwakilan UMNO di seluruh negara. Yang berlaku bukannya pendemokrasian pemilihan (tetapi) penaburan wang secara lebih meluas.

“Cuba kita perhatikan kenyataan pesaing yang tewas. Rata-rata menyatakan bahawa mereka kalah akibat ditolak perwakilan gara-gara mahu melakukan pembaharuan dan tidak main politik wang,” jelasnya.

Beliau berkata, walaupun mungkin selepas ini Mahathir akan menyerang kepimpinan Najib sebagai kepimpinan yang ‘merakyatkan’ politik wang, tetapi apa yang berlaku hanya pendemokrasian politik wang.

“Pemimpin UMNO yang tidak ada wang, tidak ada peluang langsung dalam politik UMNO. Tapi ini suatu yang bagus. Ia bermakna, UMNO tidak ada masa depan kerana ia tidak lagi membangun atas prinsip dan sistem nilai,” katanya.

Menurut Mohd Ariff Sabri lagi, pada Pilihan Raya Umum ke-14, UMNO akan menerima nasib yang lebih buruk kerana yang menang sekarang rata-ratanya daripada generasi X dan Y sedangkan yang akan mengundi pada 2018 nanti, majoritinya daripada generasi Z.

Jelas beliau, generasi Z adalah golongan muda yang tidak terikat dengan pemikiran lama seperti pemikiran perkauman sempit yang hanya memecah-belahkan perpaduan rakyat dan negara.

“Genrasi Z terdiri daripada pengundi yang menghitung faedah dan kos, untung dan rugi. Generasi ini ialah generasi yang bercakap mengenai kebenaran dan kepalsuan, benar atau salah. Mereka akan membuat keputusan mengikut pertimbangan betul atau salah dan mengadili sama ada kamu cekap dan berdaya saing.

“Bolehkah UMNO menyesuaikan diri dengan persekitaran yang demikian dalam masa lima tahun ini? Tidak mungkin! Generasi Z akan menenggelamkan pimpinan jenerasi X dan Y UMNO sekarang. Itu menjadikan UMNO apa? Ia menjadikan UMNO simply irrelevant dalam persekitaran akan datang,” ulasnya panjang lebar.-Roketkini.com