Berita

PRK DUN Sungai Limau: DAP Kedah ikrar pertahan kemenangan PAS

KUALA LUMPUR, 22 OKTOBER: DAP sudah bersiap sedia untuk mempertahankan kemenangan PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Kedah, 4 November ini.

Pengerusi Interim DAP Kedah, Zairil Khir Johari, berkata DAP negeri sudah menubuhkan satu jawatankuasa pasukan petugas khas (taskforce) bagi persediaan PRK itu.

“Melalui jawatankuasa ini, kami akan mengendalikan strategi dan tugas kempen, antara program kempen dari pintu ke pintu, melawat pasar dan tempat awam serta ceramah,” katanya dalam kenyataan.

Zairil optimis mengenai peluang PAS mempertahankan kerusi DUN Sungai Limau yang didominasi sejak 1995.

“Selepas pilihan raya umum lalu, lebih banyak isu dibangkitkan, termasuk prestasi buruk kerajaan BN seperti yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

“Kami yakin PAS juga akan bekerja keras pertahankan kerusi DUN Sungai Limau,” katanya yang juga Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera.-Roketkini.com