Berita

Rakyat harus tolak cadangan kerajaan BN laksana GST: Tony Pua

KUALA LUMPUR, 22 OKTOBER: Rakyat harus menolak cadangan kerajaan Barisan Nasional (BN) melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kerana cukai dikenakan terhadap golongan berpendapatan rendah, sebaliknya cukai bagi mereka yang berpendapatan lebih dikurangkan.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua Kiam Wee berkata, cadangan melaksanakan GST juga membuktikan kerajaan BN lemah dalam urus tadbir menyebabkan banyak berlaku pembaziran dan ketirisan wang rakyat.

Beliau berkata, jika GST dilaksanakan, golongan berpendapatan rendah akan terbeban dua kali ganda dalam pembayaran cukai kerana mereka terpaksa menanggung pengurangan cukai pendapatan bagi golongan berpendapatan tinggi.

“Sebagai contoh, individu yang berpendapatan RM1,000 akan membelanjakan sepenuhnya gaji mereka tanpa wang simpanan dan perbelanjaan mereka dikenakan GST sebanyak 5%. Manakala individu yang berpendapatan RM20,000 sebulan, mereka mungkin membelanjakan RM12,000 sebulan dan selebihnya diperuntukkan untuk simpanan dan pelaburan.

“Golongan yang berpendapatan tinggi itu dikenakan 5% GST iaitu hanya RM600 daripada RM12,000 yang dibelanjakan tadi. Ini bermakna mereka hanya dikenakan cukai sebanyak 3%. Dengan kaedah ini, kerajaan menidakkan tanggungjawabnya dalam memberikan keadilan dan pengagihan kekayaan yang adil dan saksama,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

tonyTony Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara membidas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala yang mempertikaikan hanya 15% mereka yang bekerja di Malaysia dikenakan cukai sedangkan 85% lagi tidak membayar cukai sedangkan negara menikmati pembangunan ekonomi yang pesat.

Menurut beliau, mengapa kerajaan gagal menguruskan cukai hingga membebankan rakyat yang berpendapatan kurang daripada RM2,500 sebulan.

“Hutang kerajaan kini meningkat kepada RM546 bilion selain liabiliti luar jangka yang mencecah RM150 bilion. Dengan angka itu, kerajaan dilihat gagal dalam memastikan dana kerajaan diguna dan dilaburkan dengan sebaiknya,” katanya.

Tony Pua menganggap ini bertentangan dengan struktur cukai pendapatan progresif semasa yang menimbulkan peratusan cukai yang perlu dibayar golongan berpendapatan lebih tinggi .

“Nasib baik negara dikurniakan hasil minyak dan gas, menyebabkan rekod pertumbuhan ekonomi dicemburui sejak beberapa dekad lalu. Kerajaan sebenarnya mempunyai dana mencukupi tetapi kerajaan gagal memastikan dana itu dilabur dengan betul.

“Oleh itu kerajaan harus belajar dan membuktikan kepada rakyat bahawa ia tahu menguruskan wang hasil titik peluh rakyat dengan jujur​​, profesional dan cekap, sebaliknya tidak berhak meningkatkan cukai terhadap golongan berpendapatan sederhana dan miskin,” katanya.-Roketkini.com