Berita

Usah berdolak-dalik, DAP gesa kerajaan kembalikan RM20 juta saman AES

KUALA LUMPUR, 22 OKTOBER: DAP menggesa kerajaan memulangkan semula RM20 juta yang dipungut hasil daripada saman yang dikeluarkan melalui Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok Suh Sim menggesa Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam kenyataan semalam bahawa saman yang dibayar sebelum 18 September akan dibincang semula dalam Kabinet.

“Beliau berkata, kementerian itu dilaporkan akan meneliti beberapa kaedah termasuk mengembalikan sebahagian daripada saman yang dibayar,” katanya.

Dalam masa yang sama Teresa turut mempertikai satu laporan media yang menyatakan bahawa kerajaan akan memastikan wujud situasi menang-menang.

“Apa yang dimaksudkan situasi menang-menang ini? Adakah kadar saman itu akan dikurangkan separuh yang mana pihak berkuasa akan mendapatkan lagi separuh?

“Nampaknya Hishammuddin suka menggunakan bahasanya yang boleh mendatangkan pelbagai maksud, dan seminggu selepas kenyataan itu dibuat, tiba-tiba beliau kata status saman lama akan diputuskan Jabatan Peguam Negara” kata Teresa.

Berdasarkan jawapan bertulis Parlimen pada 17 Julai lalu kepada Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng, sebanyak 628,045 daripada 673,339 saman dikeluarkan kepada penunggang motosikal kerana menunggang melebihi had laju manakala 45,294 saman kerana melanggar lampu merah yang membabitkan denda sebanyak RM20 juta.-Roketkini.com