Berita

Laporan skandal projek lembu NFC sedia untuk dibentangkan – Tony Pua

KUALA LUMPUR, 23 OKTOBER: Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua menyatakan beliau sudah bersedia untuk membentangkan laporan terhadap penyalahgunaan dana awam projek Pusat Fidlot Nasional (NFC).

Beliau berkata, pembentangan akan dilakukan selepas Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bersetuju dengan perkara itu.

Menurutnya, laporan sudah disiapkan tetapi disebabkan mesyuarat jawatankuasa di bawah Parlimen, pendedahan akan dilakukan selepas selesai sidang Dewan Rakyat.

“Sebenarnya siasatan dan laporan sudah selesai, ia sudah dimuktamadkan dalam PAC lalu. Tapi laporan itu disiapkan dalam sesi terakhir Parlimen lalu, iaitu penggal 2008-2013 sebab itu gagal dibawa ke Parlimen.

tony parlimen 2

Berdasarkan jawapan bertulis sidang Parlimen yang diterima Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu berhubung dana NFC, Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak menyatakan kedudukan projek yang diuruskan keluarga Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Jalil menunjukkan syarikat Kirimitonas Agro Sdn Bhd (KASB) dan NFC gagal mencapai persetujuan serta tidak bersedia mengambil alih liabiliti projek itu.

Najib juga berkata, pada mulanya satu rundingan dengan KASB iaitu syarikat usaha sama antara Otoshitos Sdn Bhd dan Hannan Food Group untuk mengambil alih NFC dijalankan sejak awal tahun.

Syarikat itu dipilih berdasarkan persetujuan mereka untuk menyuntik modal sebanyak RM20 juta selain usaha memulihkan kembali projek NFC.

“Kami tidak terkejut jika tidak ada mana-mana syarikat yang mahu menanggung liabiliti projek NFC dan terpaksa menambah pelaburan ke atasnya.

“Apa jadi dengan wang berjumlah RM250 juta itu? Shahrizat yang baru saja menang besar sebagai Ketua Wanita UMNO sampai sekarang masih berhutang dengan kerajaan.

“Kita ingin tahu mengapa satu sen pun masih belum dipulangkan semula. Kenapa tidak ada tindakan undang-undang diambil untuk mendapatkan balik wang itu? walhal ia merupakan satu jumlah yang amat besar,” tegasnya.-Roketkini.com