Berita

DAP desak kerajaan ambil tindakan tatatertib terhadap Datuk Fuad

KUALA LUMPUR, 24 OKTOBER: Ahli Parlimen DAP Serdang Dr Ong Kian Ming mendesak kerajaan mengambil tindakan terhadap Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas, Datuk Fuad Hassan kerana melanggar tatatertib peraturan pegawai awam.

Beliau berkata, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa perlu segera mengambil tindakan terhadap Fuad untuk memelihara nama baik perkhidmatan awam di Malaysia.

Selain itu, katanya, beliau juga akan menghantar emel semua ‘screenshot’ tweet Fuad kepada Mohamad Zabidi dan Ali Hamsa sebagai bukti bahawa Fuad melanggar tatatertib SPA.

“Saya berharap KPPA dan KSN akan melakukan siasatan sepenuhnya dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap Fuad.

“Sebagai penjawat awam Fuad tidak sepatutnya terbabit dalam politik apabila membuat 372 kali tweet menyerang Pakatan Rakyat dan 18 kali menyokong UMNO/Barisan Nasional (BN) daripada 2011 sehingga 24 Oktober lalu.

“Mengikut peraturan pegawai awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT) dan Kumpulan Pengurusan & Profesional (P&P) dilarang mengambil bahagian dalam politik,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Ong berkata, mengikut peraturan itu pegawai tidak boleh membuat sebarang kenyataan awam, sama ada secara lisan atau bertulis, memberi pandangan berat sebelah mengenai sesuatu isu politik, terbabit merayu undi bagi menyokong mana-mana calon pada sesuatu pilihan raya umum, pilihan raya kecil, atau apa-apa pilihan raya untuk jawatan dalam mana-mana parti politik.

Menurutnya, FAQ mengenai Politik Penjawat Awam yang disediakan Jabatan Perkhidmatan Awam menyatakan bahawa pegawai KPT atau P&P dilarang untuk ‘like’ dan ‘share’ Facebook dan ‘retweet’ artikel berkaitan politik.

“FAQ juga menyatakan bahawa “Jika artikel berkenaan cenderung memihak kepada parti politik tertentu, aktiviti itu boleh ditafsirkan sebagai sokongan pegawai terhadap parti politik itu ia dikatakan juga sebagai aktif politik,” tambahnya.

Bagaimanapun, katanya, Fuad, sebagai Pengarah Jasa di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia melanggar tatatertib itu dengan begitu ketara.

Tambah mendukacitakan, bekas Ahli Parlimen Hulu Kelang itu juga membuat pernyataan yang boleh menimbulkan sentimen perkauman melalui blog dakwat-kertas apabila memberi komentar terhadap “Film “The New Village”.

Katanya “Filem The New Village menceritakan kesengsaraan bangsa Cina di zaman penjajahan British namun ternyata mengesahkan hubungan cinta dan kerjasama masyarakat Cina kepada Komunis.

“Film ini dilihat sebagai mendukung pandangan PKR, PAS dan DAP bahawa perjuangan komunis adalah perjuangan kemerdekaan.

“Dengan menyalahgunakan jawatan beliau sebagai Pengarah JASA, Datuk Fuad memburukkan nama baik penjawat awam di negara kita yang kebanyakkannya melakukan tugas dengan profesional dan tidak menyebelahi mana-mana parti politik dan tidak ada niat untuk aktif berpolitik semasa menjalankan tugas sebagai pejawat awam.

Beliau juga akan menghantar emel kesemua ‘screenshot’ tweet Datuk Fuad kepada Tan Sri Mohamad Zabidi dan juga Tan Sri Dr Ali Hamsa sebagai bukti bahawa Datuk Fuad telah melanggar tatatertib SPA.-Roketkini.com