Berita

Isu undang-undang Islam: Ariff Sabri kecam tindakan media putar belit kenyataannya.

KUALA LUMPUR, 25 OKTOBER: Ahli Parlimen DAP Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz mengecam tindakan beberapa pihak dan media yang memutar belit kenyataannya berhubung undang-undang Islam yang dibangkitkan Ahli Parlimen PAS Temerloh, Nasaruddin Tantawi baru-baru ini.

Beliau berkata, kenyataannya itu tidak bercanggah dengan pendirian DAP tetapi disalah tafsir oleh beberapa media dengan menggambarkannya sebagai bertentangan dengan prinsip perjuangan parti.

“Wartawan meminta pandangan saya mengenai undang-undang Islam dan ia tidak semestinya hanya terhad kepada apa yang diutarakan Nasaruddin Tantawi sahaja.

“Saya tidak membaca akhbar Cina tetapi mendapat tahu daripada rakan bahawa penyokong MCA mengamuk dan menyerang kenyataan yang dikaitkan dengan saya. Saya tidak ada masalah dengan pencacai ini kerana mereka memang dilatih begitu.

“Ingin saya tegaskan, segala soalan yang ditanya wartawan sentiasa dijawab dengan waspada dan berhati-hati kerana sebagai ahli DAP saya memahami sepenuhnya pendirian parti mengenai undang-undang Islam,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, segala kemarahan dan kekeliruan terhadap kenyataannya itu sangat tidak masuk akal dan berlandaskan ketakutan tidak rasional mengenai apa sahaja berkaitan Islam dan undang-undang Islam.

Jelasnya, sebagai seorang Muslim dalam apa jua parti, ia perkara semulajadi untuk menyokong undang-undang Islam selagi ianya tidak membawa kemudaratan terhadap warga lain.

“Saya bersetuju dengan undang-undang Islam selagi ia tidak bercanggah dengan perlembagaan. Saya bersetuju dengan undang-undang Islam kerana agendanya yang lebih besar untuk mewujudkan sebuah negara yang diasaskan kepada prinsip kedaulatan undang-undang.

“Saya tidak akan membantah jika undang-undang itu tidak memberi masalah kepada rakyat Malaysia yang menganut agama dan kepercayaan lain,” ujarnya.

Beliau secara peribadi turut menegaskan undang-undang Islam tidak dapat dilaksanakan di Malaysia kerana tidak mempunyai perlembagaan Islam.

“Secara peribadi saya fikir, undang-undang Islam di Malaysia tidak dapat dilaksanakan kerana kita tidak mempunyai perlembagaan Islam. Samada orang PAS bersetuju atau tidak dengan pendapat saya, itu soal lain.

“Perlembagaan kita adalah sekular dan undang-undang universal terpakai di negara kita adalah undang-undang sivil. Jadi mengapa perlu bergaduh soal sistem kepercayaan dan keimanan, walhal kita menyedari undang-undang Islam tidak boleh dilaksanakan.

“Sebagai seorang Muslim di Malaysia, pada saya undang-undang Islam hanya berfungsi sebagai perintah moral peribadi sahaja. Mungkin kenyataan ini kejam, tetapi inilah realitinya,” tegasnya.

Katanya, sebelum menyertai DAP lagi beliau sudah berpegang kepada prinsip bahawa undang-undang Islam tidak dapat dilaksanakan dan menyokong penuh pendirian parti mengenai perkara itu.

“Jadi sebagai seorang Muslim, walaupun sebelum menyertai DAP, saya tidak pernah terganggu dengan pendirian Karpal Singh mengenai undang-undang Islam apabila beliau menyatakan ianya tidak boleh dilaksanakan.

“Malah saya bersetuju dengan pendirian beliau kerana negara kita tidak mempunyai perlembagaan Islam. Bagaimana anda mahu melaksanakan undang-undang yang tidak ada dalam perlembagaan? Ini sesuatu yang Islam perlu renungkan juga,” katanya. -Roketkini.com