Berita

DAP desak PM boikot CHOGM kerana hapus etnik Tamil dan Muslim Sri Lanka

KUALA LUMPUR, 25 OKTOBER: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak digesa memboikot mesyuarat CHOGM di Sri Lanka kerana negara itu melakukan jenayah perang, penghapusan etnik Tamil dan minoriti muslim yang berlanjutan sepanjang 20 tahun.

Ahli Parlimen DAP Batu Gajah, V Sivakumar, berkata keputusan Perdana Menteri menghadiri mesyuarat CHOGM di negara itu hanya akan menimbulkan reaksi negatif daripada pelbagai pihak.

“Kerajaan Sri Langka telah bertindak melampaui batasan dan kejam serta melanggar hak asasi manusia dengan memerangi komuniti Tamil yang terancang dan diatur begitu rupa.

“Penghapusan etnik selama 20 tahun ini ditamatkan pada 2009. Puluhan ribu etnik Tamil dibunuh secara kejam oleh tentera Sri Lanka. Lebih 10,000 orang terbunuh dan 1,000 hilang pada penghujung perang itu termasuk orang awam, wanita dan kanak-kanak,” jelasnya.

Menurut Sivakumar, walaupun perang terhadap kumpulan bersenjata Tamil Tigers sudah tamat tetapi kerajaan Sri Lanka tidak terlepas daripada bertanggungjawab terhadap jenayah perang yang dilakukan secara kejam meliputi pembunuhan, penderaan dan jenayah seks seperti rogol dan sebagainya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Setiausaha Antarabangsa DAP Kebangsaan berkata, perkara ini juga disahkan Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Navi Pillay dengan mengatakan tidak ada akauntabiliti dan berlaku kehilangan hak asasi manusia yang nyata di Sri Lanka.

“Kanada sudah mengambil keputusan untuk tidak menghadiri Mesyuarat CHOGM yang bakal berprinsip. Begitu juga Kenya yang mengambil keputusan yang sama,” ujar beliau.

Tambah beliau, Kenya juga sedang mendesak dan memujuk negara Afrika lain seperti Uganda, Tanzania, Rwanda, Nigeria, Afrika Selatan dan Zambia memboikot mesyuarat CHOGM di Sri Lanka itu.

Penganjuran mesyuarat CHOGM di Sri lanka itu turut mendapat kritikan hebat The British House Of Commons Foreign Affair Committee.

“Dalam laporan kritikan dalam ‘Role & Future of Commonwealth’, mereka mendesak Perdana Menteri, David Cameron turut memboikot mesyuarat itu.

“Negara-negara Komanwel sepatutnya mempertahankan dan berusaha meningkatkan keunggulan hak asasi manusia. Prinsip ini tidak boleh ditinggalkan dalam apa juga keadaan. Menghadiri mesyuarat GHOGM di Colombo secara langsung memberi pengiktirafan terhadap jenayah perang Sri Lanka dan pengabaian kepada prinsip hak asasi manusia yang menjadi satu daripada teras demokrasi yang penting,” katanya.-Roketkini.com