Berita

UMNO/BN perlu henti fitnah DAP rancang bentuk negara Kristian: Kit Siang

KUALA LUMPUR, 25 OKTOBER: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang meminta UMNO/Barisan Nasional (BN) menjadikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, di Kedah sebagai model politik bersih, jujur dan bermaruah bukannya melakukan pembohongan, fitnah dan serangan peribadi serta politik wang.

Katanya, ini kerana semua taktik UMNO/BN itu akan menjejaskan dasar 1Malaysia Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta mengancam keharmonian hubungan antara kaum dan menjejaskan daya saing Malaysia.

Beliau berkata, seruan itu sudah dinyatakan pada sidang media selepas PAS dan Pakatan Rakyat mengumumkan Mohd Azam Samat sebagai calon PRK DUN Sungai Limau, malam Isnin lalu.

“Saya sungguh kecewa kerana seruan ke arah pilihan raya yang bersih, jujur dan bermaruah di Sungai Limau itu diabaikan UMNO/BN sejak hari pertama kempen mereka, kelmarin.

“Wartawan Malaysiakini, Susan Loone dalam laporannya bertajuk “UMNO bids to undermine PAS’ Islamic credentials”, mendedahkan bahawa penceramah UMNO/BN dalam satu ceramah kelompok, malam kelmarin, cuba meraih sokongan 93 peratus pengundi Melayu di Sungai Limau dengan menyebarkan pembohongan bahawa DAP merancang membentuk negara Kristian di Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, beliau sudah menyatakan sebelum ini dalam ceramah di Sungai Limau Dalam, Isnin lalu bahawa DAP menyokong penuh ciri-ciri asasi dalam Perlembagaan Malaysia, khususnya peruntukan mengenai kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di samping jaminan terhadap bahasa-bahasa lain, Islam sebagai agama rasmi Persekutuan serta kebebasan beragama untuk bukan Muslim, selain sistem Raja Melayu dan raja berperlembagaan di negara ini.

Menurutnya, ciri-ciri asasi dalam Perlembagaan Malaysia serta matlamat mengembangkan demokrasi, tadbir urus yang baik, keadilan ekonomi, kecemerlangan pendidikan dan integriti dalam kehidupan awam dengan membasmi korupsi, tamak, kronisme, dan penyalahgunaan kuasa, adalah matlamat bersama Pakatan Rakyat, membabitkan PAS, PKR dan DAP.

“Semua parti dan calon yang bertanding sememangnya akan mencuba sedaya upaya untuk memenangi PRK Sungai Limau, tetapi sepatutnya mereka hendaklah memastikan kemenangan yang dicapai itu nanti bukan berasaskan pembohongan, pendustaan, serangan peribadi dan politik wang.

“UMNO/BN sudah parti tidak sanggup menafikan pembohongan bahawa DAP merancang untuk membentuk negara Kristian di Malaysia, pada PRK Sungai Limau.

“Bagaimanapun, saya meminta UMNO/BN berhenti menyebarkan pembohongan itu pada sepanjang kempen PRK Sungai Limau kerana ia akan menjejaskan dasar 1Malaysia Najib serta mengancam keharmonian hubungan antara kaum dan menjejaskan daya saing Malaysia,” katanya.-Roketkini.com