Berita

Janji BN bohong, gagal laksanakan Lebuh Raya Pan Borneo

KUALA LUMPUR, 25 OKTOBER: Rakyat Sabah dan Sarawak menyambut baik cadangan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo dalam Bajet Alternatif Pakatan Rakyat (PR) 2014 semalam kerana selama ini Kerajaan Barisan Nasional (BN) berbohong selama lebih 50 tahun memerintah.

Ini kerana, kewujudan lebuhraya itu bakal memacu pertumbuhan ekonomi negeri dengan lebih pesat berbanding jalan sedia ada yang kecil dan bermasalah.

Ahli Parlimen DAP Kota Kinabalu, Jimmy Wong Sze Phin menyambut baik Bajet Alternatif 2014 PR, kerana kerajaan BN tidak serius mahu memajukan Sabah dan Sarawak.

“Projek Lebuh Raya Pan Borneo itu sudah lama ditangguh BN, jadi jika mereka ikhlas projek itu perlu dilaksanakan segera jika kerajaan benar-benar mahu membela nasib rakyat Sabah dan Sarawak yang jauh ketinggalan berbanding negeri lain di Semenanjung,” katanya.

Pengerusi DAP Sabah itu turut mempertikai tindakan kerajaan BN yang dilihat seolah-olah sengaja menganaktirikan rakyat negeri itu.

“Mereka tidak lagi boleh menganggap Sabah negeri deposit tetap BN. Sekarang rakyat semakin sedar yang mereka terbeban dengan kos kehidupan yang meningkat setiap tahun sedangkan Sabah kaya dengan sumber hasil,” kata beliau.

Ahli Parlimen DAP Kuching, Chong Chien Jen pula menimbulkan tanda tanya mengapa Lebuh Raya Pan Borneo masih tidak dilaksanakan sedangkan Sarawak dan Sabah sudah separuh abad bersama dalam Persekutuan Malaysia.

“Dengan keadaan jalan yang teruk terutama yang menghubungkan bandar ke bandar, di negeri berkenaan menyebabkan berlaku banyak kemalangan maut,” kata beliau.

Beliau berkata, kerajaan sengaja melambatkan pelaksanaan projek itu kerana menganggap negeri di Malaysia Timur masih deposit tetap BN.

“Bukan lebuhraya sahaja, malah pembangunan infrastruktur lain seperti bekalan air terawat dan elektrik juga diabaikan BN. Sampai bila BN mahu mendiskriminasi Sabah dan Sarawk,” katanya Pengerusi DAP Sarawak itu.-Roketkini.com