Berita

Kes skandal PKFZ: Pakatan Rakyat pertikai kredibiliti Peguam Negara

KUALA LUMPUR, 25 OKTOBER: Pemimpin Pakatan Rakyat mengecam Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail kerana satu lagi kegagalan kes berprofil tinggi berikutan pembebasan bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik daripada tuduhan menipu kerajaan Malaysia berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) tidak mengejutkan dan sudah dijangka semua rakyat Malaysia.

Berikutan kegagalan itu, Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan, Liew Chin Tong, menggesa Abdul Gani meletakkan jawatan dan bertanggungjawab terhadap beberapa kegagalan menyabitkan individu yang bersalah secara konsisten terutama dalam kes berprofil tinggi.

“Adalah sangat tidak adil apabila PKFZ menjadi satu lagi skandal tanpa penjenayah,” kata Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Kluang.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua Kiam Wee pula menganggap keputusan mahkamah membebaskan Dr Ling tidak mengejutkan dan sudah dijangka semua rakyat Malaysia.

Beliau berkata, ini bermakna Pejabat Peguam Negara memfailkan pendakwaan cacat terhadap Dr Ling supaya bebas daripada pertuduhan itu.

Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata, Peguam Negara sama ada tidak cekap atau bijak merangka pertuduhan dengan mengetahui ia tidak mungkin dipertahankan dalam penelitian.

“Ini adalah kegagalan kedua Peguan Negara untuk mensabitkan kes jenayah utama tahun ini, termasuk sebelum ini pegawai elit Khas Unit Tindakan , Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar yang ketika itu menjadi pengawal peribadi kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibebaskan daripada tuduhan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin pula berkata, Abdul Gani bukan sahaja perlu dipersalahkan dalam beberapa kes berprofil tinggi, malah perlu bertanggungjawab ke atas beberapa pindaan undang-undang baru yang tidak dibuat secara rapi.

“Terdapat banyak sebab lain beliau perlu meletakkan jawatan, bukan saja dalam kes Dr Ling,” katanya.

Hanipa berkata, pihak peguam negara tidak harus membiarkan kes itu berlalu begitu sahaja kerana ia melibatkan kepentingan awam dan rayuan perlu dibuat terhadap keputusan mahkamah bagi memastikan kebenaran ditegakkan.