Berita

BN hanya tahu potong subsidi, naik cukai – Tony Pua

KUALA LUMPUR, 26 OKTOBER: Tindakan kerajaan mengenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak mampu menyembunyikan kelemahan mereka mengawal perbelanjaan berlebihan dengan defisit kekal tidak berganjak.

Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, lebihan dalam kutipan cukai yang dinyatakan dalam Laporan Ekonomi 2013/14 sepatutnya membantu mengurangkan defisit kronik itu kepada 2.6 peratus tetapi sebaliknya kekal tidak berubah pada unjuran empat peratus.

“Walaupun kerajaan mengumpul jauh lebih tinggi daripada hasil yang dijangkakan, defisit untuk 2013 kekal pada RM39.3 bilion.

“Ini bermakna hampir setiap sen pendapatan tambahan yang dikutip kerajaan terus segera dibelanjakan, bukannya menyumbang ke arah mengurangkan hutang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kerajaan semalam turut mengumumkan pelaksanaan GST pada kadar enam peratus mulai 1 April 2015.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendakwa dengan mengenakan GST, kerajaan akan dapat memperluaskan asas hasil dan menangani lebihan kronik berbelanja yang bermula sejak krisis kewangan Asia pada era 90-an.

Menyelar kenyataan Najib itu, Pua yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP menyatakan, kerajaan langsung tidak menunjukkan bahawa mereka mahu memperlahankan kadar perbelanjaan.

“Najib sekali lagi memohon Parlimen untuk meningkatkan operasi perbelanjaan kepada RM217.7 bilion, walaupun RM7.3 bilion sudah dipotong dalam belanjawan subsidi daripada RM46.7 bilion pada 2013 kepada RM39.4 bilion pada 2014.

“Ini bermakna apa sahaja yang dijimat daripada pengurangan subsidi itu pergi sepenuhnya ke arah perbelanjaan mengurus kerajaan,” ujarnya.

Jelas Pua lagi, sebarang faedah daripada pengenalan GST tentunya akan dinafikan oleh ketidakupayaan kerajaan untuk berbelanja kurang daripada apa yang diperlukan.

Beliau menambah, cukai baru ini bukan saja tidak mampu menangani defisit malah akan menjadi satu lagi saluran mengisi tabung kerajaan untuk mengurangkan keperluan pentadbiran keterlaluan mereka.

“GST adalan cukai penggunaan, bermakna semua rakyat Malaysia akan dikenakan cukai mengikut tahap perbelanjaan tanpa mengira pendapatan. Ia berbeza daripada cukai pendapatan yang hanya terpakai selepas melebihi tahap gaji tertentu,” tegasnya.

GST buat pertama diumumkan kerajaan pada Belanjawan 2005 dan dijadual akan dilaksanakan pada 2007, namun kemudian ia ditangguhkan.

GST kemudiannya dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 2009 bagi pelaksanaan pada 2011, tetapi ditarik balik semasa bacaan kali kedua pada 2010 akibat tentangan hebat daripada pimpinan Pakatan Rakyat dan orang ramai. – Roketkini.com