Berita

BN tipu rakyat lagi, dakwa harga murah dengan GST – Ong Kian Ming

KUALA LUMPUR, 28 OKTOBER: Ahli Parlimen DAP Serdang, Dr Ong Kian Ming mengecam keras tindakan kerajaan yang mengelirukan rakyat apabila mendakwa melalui Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) harga barangan keperluan akan jauh lebih murah berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebelum ini.

Beliau berkata, dakwaan itu ternyata tidak berasas dan dusta semata kerana SST jauh lebih rendah berbanding GST dan harga majoriti barangan serta perkhidmatan akan lebih meningkat dengan wujudnya cukai baru itu.

“Hujah bahawa rakyat akan membayar cukai lebih rendah di bawah GST hanya dusta kosong yang direka kerajaan.

“Bagaimana kerajaan boleh mengatakan kutipan cukai di bawah GST akan bertambah baik dan pada masa sama mendakwa rakyat akan membayar cukai kurang berbanding sebelumnya?

“Ini adalah taktik untuk mengelirukan rakyat dan ia jelas tidak jujur. Walhal, perkara yang sebetulnya adalah GST akan menaikkan harga majoriti barangan dan perkhidmatan selepas penghapusan SST sekaligus menyebabkan beban kewangan semakin meningkat,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurut Kian Ming, antara perkara yang tidak dikenakan cukai di bawah SST tetapi akan dicukaikan melalui GST termasuk barang bukan mewah (non-luxury) seperti susu, kopi, teh, air mineral, buah dalam tin, akhbar, alat tulis, beg sekolah dan lain-lain lagi.

Katanya, pengguna elektrik melebihi 200 KWH atau melebihi RM50 juga akan dikenakan cukai selepas ini akibat daripada pengenalan GST.

“Sekarang, SST cuma terhad kepada restoran tertentu dan perkhidmatan profesional yang diberikan oleh akauntan, arkitek, perkhidmatan kenderaan bermotor dan pusat pembaikan, perkhidmatan telekomunikasi, keselamatan, ejen hartanah dan sebagainya.

“Namun melalui GST, mungkin pusat tuisyen dan salun juga akan dikenakan GST. Liputan yang lebih luas di bawah GST bermakna semakin banyak perkhidmatan akan dikenakan GST berbanding SST. Ini tentunya menyebabkan harga perkhidmatan juga meningkat,” ujarnya.

Jelasnya lagi, tindakan kerajaan menyenaraikan beberapa barangan kononnya sebagai cukai yang dikecualikan di bawah GST seperti hartanah kediaman, perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan dan pengangkutan juga tidak membawa sebarang faedah kerana akhirnya ia tetap akan cukaikan.

“Apakah ini bermakna produk terakhir dijual tidak dikenakan cukai, tetapi input yang digunakan untuk menghasilkan barangan dan perkhidmatan masih tetap dikenakan cukai GST.

“Sebagai contoh, harta kediaman tidak akan dikenakan GST tetapi bahan binaan yang digunakan dalam pembinaan hartanah kediaman akan dilindungi GST.

“Apakah ini bermaksud harga barangan dan perkhidmatan yang dikecualikan cukai juga akan meningkat akibat GST?,” soalnya. -Roketkini.com