Berita

DAP sokong siaran langsung PAC di Parlimen, gesa Speaker luluskan segera

KUALA LUMPUR, 28 OKTOBER: DAP menyokong penuh langkah Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengadakan sesi pendengaran dan penerangan secara langsung di Parlimen.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua berkata, pengumuman PAC tentunya akan mempromosikan ketelusan dan keterbukaan dalam Parlimen negara.

“Kami menyokong penuh keputusan PAC untuk mengadakan sesi pendengaran dan keterangan secara terbuka dan telus melalui siaran secara langsung.

“Keputusan progresif ini akan membantu negara berada seiring dengan demokrasi yang diamalkan negara dunia pertama seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Jerman Australia dan New Zealand dalam mempromosikan keterbukaan dan ketelusan di Parlimen,” katanya dalam kenyataan.

Bagi memastikan ia dapat dilaksanakan, Pua yang juga Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara turut mendesak Jawatankuasa Ketetapan Mesyuarat Parlimen mengadakan mesyuarat dengan segera.

“Bagaimanapun kami bimbang mungkin hasrat mengadakan pendengaran dan keterangan ini tidak dapat direalisasikan pada sesi pertama yang dijadualkan pada 14 November ini kerana Ketetapan Mesyuarat Parlimen di bawah Peraturan 85 belum lagi dipinda hingga kini.

“Jadi kami menggesa jawatankuasa mengadakan satu mesyuarat mengejut minggu depan mengenai isu ini. Jawatankuasa yang dipengerusikan Speaker Dewan harus membentangkan cadangan pindaan Ketetapan Mesyuarat dan usul pertama ke Dewan untuk diluluskan serta merta.

“Kami berharap tindak balas pantas Speaker dan Jawatankuasa Ketetapan Mesyuarat, serta sebagai usaha kedua-dua parti BN dan Pakatan Rakyat membolehkan Parlimen Malaysia mengambil langkah kecil yang sangat penting ke arah menjadi ‘negara demokrasi terbaik di dunia seperti yang dicanang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini,” tegasnya.

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek akan menjadi individu pertama yang akan memberi keterangan berhubung dakwaan percanggahan dalam pembayaran RM1.6 juta kepada artis K-Pop semasa Hari Belia Kebangsaan 2012 lalu.

Minggu lalu, Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed menyatakan sokongan beliau agar siaran langsung sesi memberi keterangan dilakukan dan menegaskan ia sudah diamalkan di negara Komanwel lain seperti United Kingdom dan Australia.-Roketkini.com