Berita

Rakyat dipaksa berjimat, tapi Najib belanja bil elektrik lebih RM2.5 juta setahun

KUALA LUMPUR, 28 OKTOBER: Ahli Parlimen DAP Seremban, Anthony Loke Siew Fook menyanggah saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang meminta rakyat berjimat, namun pada masa memaksa mereka membayar cukai kira-kira RM8,500 sehari untuk bil elektrik kediaman beliau dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kasim menyatakan bil elektrik rasmi Najib di Kompleks Seri Perdana adalah sebanyak RM2.5 juta, manakala kediaman Muhyiddin RM865,458 bagi tahun 2012.

“Ini bermakna pembayar cukai membayar RM8,500 sehari untuk bil elektrik kedua-dua pemimpin berkenaan, jadi bagaimana orang seperti ini boleh memberitahu rakyat untuk berjimat sedangkan mereka sendiri setiap hari membazirkan wang rakyat untuk bil elektrik dan air yang begitu tinggi,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen.

Shahidan juga mendedahkan kerajaan membelanjakan RM311,174 dan RM99,264 untuk membayar bil air kediaman kedua-dua pemimpin tertinggi UMNO itu.

Dalam pembentangan Bajet 2014 Jumaat lalu, Najib mengumumkan rancangan untuk melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada kadar enam peratus mulai 1 April 2015 dalam langkah meluaskan asas pendapatan kerajaan dan memotong defisit.

Najib mendakwa langkah itu perlu dilakukan sebagai usaha kerajaan mengukuhkan daya tahan ekonomi negara.

Mengecam kenyataan Najib itu, Anthony Loke yang juga Ketua Whip DAP menegaskan tidak ada asasnya bagi Najib bercakap mengenai penjimatan jika beliau sendiri seolah-olah dibenarkan melakukan pembaziran secara berleluasa dan bermewah melalui wang pembayar cukai atau wang rakyat.

Anthony turut membandingkan kediaman Najib dengan Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama yang hanya mempunyai keluasan kawasan kira-kira 18 ekar.

“Melalui semakan Wikipedia, kediaman rasmi Najib adalah lebih dua kali ganda lebih besar daripada White House iaitu seluas 42.5 ekar,” ujarnya.

Beliau menambah, Najib juga sepatutnya membayar sejumlah RM130,000 cukai GST menggunakan duit poket sendiri sebaik ia dilaksanakan kerana membelanjakan terlalu banyak wang rakyat.

“Sekiranya tidak ada sebarang pengurangan berlaku, saya menggesa Najib membayar sendiri cukai GST apabila dilaksanakan pada April tahun depan.

“Jangan tambah beban dan susahkan rakyat dengan pembaziran yang dilakukan diri sendiri dan kemudian berkobar-kobar menyuruh rakyat berjimat,” tegasnya. -Roketkini.com