Berita

Kit Siang anggap Tiong Lai tidak faham mesejnya mengenai Belanjawan 2014

KUALA LUMPUR, 29 OKTOBER: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menganggap Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai tidak faham kenyataannya mengenai dua mesej Belanjawan 2014 bahawa Malaysia menjadi negara ‘jenayah besar, tiada penjenayah’ dan menteri kebal daripada tindakan undang-undang walaupun cuai menjalankan tugas mereka.

Katanya, ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik daripada tuduhan menipu kerajaan dalam skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang membabitkan berbilion ringgit adalah kenyataan rumit dan sukar difahami sehingga membingungkan Tiong Lai.

“Samada Tiong Lai tidak faham bahasa yang mudah dan nyata atau beliau sengaja berpura-pura tidak faham kerana ada muslihat politik untuk bersaing mendapat undi perwakilan yang menyokong Liong Sik untuk menentang Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek pada pemilihan MCA Disember ini.

“Seperti yang saya sebut keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu membawa dua mesej yang memberi kesan langsung terhadap Belanjawan 2014, Rancangan Transformasi Nasional Najib dan arah tuju negara dan ekonomi Malaysia pada masa depan.

“Negara terus “mempunyai jenayah besar, tetapi tiada penjenayah”, di mana rakyat Malaysia menjadi mangsa korupsi dan skandal raksasa dalam keadaan kerajaan dan agensi pencegahan rasuah iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tidak mampu berbuat apa-apa untuk memerangi korupsi yang membabitkan “jerung” dan bukan hanya “ikan bilis”; dan Menteri Kabinet kini kebal daripada hukuman jika mereka cuai menjalankan tugas rasmi, termasuk tugasan di peringkat kabinet,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, beliau percaya jika 2,400 perwakilan MCA diberi peluang menyatakan pandangan secara rahsia, sebahagian besar bersetuju dengan dua kesimpulan yang dikemukakan mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Belanjawan 2014 itu.

Menurutnya, semua rakyat Malaysia yang mempunyai kesedaran penuh akan mengakui bahawa Malaysia tidak sepatutnya terus menjadi sebuah negara yang “mempunyai jenayah besar tetapi tiada penjenayah” di mana korupsi secara besar-besaran dibiarkan berlaku tanpa disekat jika negara ini benar-benar mahu membentuk budaya politik baru yang berintegriti dan anti-korupsi.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Ahmad Asnawi menyebut dalam keputusannya bahawa bekas Menteri Pengangkutan itu tidak boleh dipertanggungjawabkan atas sebarang kesilapan serta maklumat mengelirukan atau tidak tepat yang dikemukakan di peringkat penyediaan dokumen kementerian bagi tujuan pembelian tanah PKFZ memandangkan beliau bukan orang “nombor satu” dalam kementerian, sebaliknya hanya berperanan sebagai “penghantar maklumat”.

Menurut hakim itu, jika ada, kesalahan hendaklah diletakkan ke atas pegawai Kementerian Pengangkutan yang merangka dan menyediakan dokumen itu.

“Sebagai bekas Menteri Kesihatan dan seorang yang berharap untuk kembali menjadi anggota Kabinet secepat mungkin, adakah Liow bersetuju bahawa seorang menteri bukan orang “nombor satu” dalam kementeriannya dan tidak perlu dipertanggungjawabkan atas sebarang isu yang berbangkit dalam kementeriannya sama ada di depan orang awam, Parlimen atau Kabinet?

“Nampaknya di bawah slogan “Endless Possibilities” kerajaan Najib, Barisan Nasional (BN) sedang mencipta prinsip baru bagi tanggungjawab kementerian iaitu bahawa seorang menteri bukan orang “nombor satu” dalam kementeriannya dan tidak perlu dipertanggungjawabkan atas sebarang pengabaian tugas,” ujarnya

Kit Siang berkata, jika Liow berpandangan menteri bukan orang “nombor satu” dalam kementeriannya dan berpegang dengan prinsip kementerian yang tidak bertanggungjawab, apakah beliau berpandangan bahawa Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail perlu menangkap dan mendakwa “pegawai Kementerian Pengangkutan” di bawah peringkat Menteri Pengangkutan yang bertanggungjawab atas skandal RM12.5 bilion PKFZ?

Katanya, atau Liow menganggap skandal PKFZ itu termasuk dalam kategori “jenayah besar tanpa penjenayah” yang hanya wujud di Malaysia dan justeru itu tidak perlu dikenalpasti siapa yang terbabit dalam skandal PKFZ itu.-Roketkini.com