Berita

BN tak peduli masyarakat India, naik harga gula menjelang Deepavali

KUALA LUMPUR, 30 OKTOBER: Pengumuman kenaikan harga gula sebanyak RM0.34 di saat menjelangnya perayaan Deepavali dilihat sangat tidak sensitif.

Ahli Parlimen DAP Batu Gajah V. Sivakumar berkata, tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kenaikan berkenaan membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) menganaktirikan masyarakat India negara ini.

“Adakah kerajaan Barisan Nasional telah sengaja melupakan bahawa kaum India yang beragama Hindu akan menyambut perayaan Deepavali minggu ini?,” soalnya.

Perkara ini menurutnya satu lagi bukti bahawa kerajaan BN sebenarnya tidak prihatin terhadap komuniti itu tetapi sebenarnya lebih gemar ‘bermanis mulut’ sewaktu pilihan raya.

“Tindakan kerajaan yang tidak mempedulikan masyarakat India ini sudah pasti akan menambahkan lagi beban kaum India terutamanya golongan miskin yang hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

“Kalau Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak benar-benar berterima kasih kepada masyarakat India, sudah tentu beliau tidak akan mengumumkan kenaikan harga gula seminggu sebelum perayaan Deepavali,” kata Timbalan Pengerusi DAP Perak itu.

Beliau berpandangan, ucapan ‘Nandri’ (terima kasih) oleh Perdana Menteri kepada masyarakat India sewaktu membentangkan Belanjawan 2014 baru-baru ini tidak jujur dan hanya sebuah gurauan semata-mata. – Roketkini.com