Berita

BN belanja melampau, ekonomi dalam bahaya

KUALA LUMPUR, 30 OKTOBER: Kerajaan Barisan Nasional (BN) secara tidak langsung mendedahkan kepincangan pengurusan kewangan negara apabila mempamerkan beban tanggungan dan perbelanjaan melampau dalam Bajet 2014 yang diumumkan minggu lalu.

Menjelaskan lanjut dalam empat poin utama, Ahli Parlimen DAP Taiping, Nga Kor Ming berkata bajet kali ini terpaksa membuat peruntukan besar dengan keadaan perolehan kerajaan yang tidak seimbang.

“Pertama, bajet ini merupakan bejet defisit 17 tahun berturut-turut sejak 1998. Di bandingkan dengan jangkaan hasil kerajaan, jumlah defisit tahun depan berjumlah RM40.1 billion. Ini satu jumlah defisit yang besar dan jika termasuk bil perbekalan tambahan, jumlah defisit negara sebenar akan berjumlah lebih RM60 billion,” kata beliau.

Katanya, sejak Ahli Parlimen PKR Anwar Ibrahim “direhatkan di Sungai Buloh”, Malaysia tidak pernah menikmati belanjawan lebihan sebaliknya sentiasa terbelenggu dalam keadaan defisit.

“Kedua, bajet ini menonjolkan betapa teruknya hutang negara yang semakin menggunung. Ketika YB Pematang Pauh menjadi Menteri Kewangan, hutang negara kita berada di paras sekitar RM90 billion, dalam tempoh lapan tahun Pematang Pauh menjadi Menteri Kewangan, hutang negara bukan sahaja tidak meningkat sebaliknya berjaya dikurangkan ke paras RM80 billion.

“Malangnya sejak Kementerian Kewangan diambil alih Tun Dr Mahathir ketika itu, hutang negara terus berkembang dari RM80 billion ke paras melebihi RM200 billion, kemudian ke paras RM300 billion di zaman Tun Abdullah dan kini dibawah Pekan (Najib Razak), hutang negara ini terus melonjak ke jumlah RM531.6 billion, iaitu 54.8 peratus menghampiri tahap maksima atau statutory ceiling, 55 peratus KDNK,” jelasnya dalam ucapan perbahasan Bajet 2014.

“Kita terpaksa menanggung RM23.1 bilion pada tahun depan untuk mematuhi jadual membayar hutang. Model yang diamalkan oleh kerajaan adalah meminjam untuk membayar. Kerajaan menerbit bon baru untuk membayar bon lama, model ini sudah terbukti akan membawa parah pada satu hari nanti.

“Terbitan bon oleh kerajaan dengan jaminan juga semakin rancak kebelakangan ini khususnya 1MDB yang kini berhutang RM38.4 bilion, tetapi tujuan terbitan bon banyak diantaranya adalah untuk membayar hutang,” katanya.

Malah katanya, selain jumlah hutang yang melebihi RM530 billion, tanggungan kerajaan terhadap liabiliti luar jangka juga mencapai rekod terbaru iaitu berjumlah RM143.1 billion atau 15 peratus dari KDNK negara.

“Alangkah baiknya jika kerajaan menguruskan kewangan awam dengan penuh hemah, jumlah dana yang begitu besar ini boleh disuntikkan ke dalam sektor pendidikan, ia pasti mampu mendirikan 23 buah universiti baru untuk mendidik dan mencungkil bakat modal insan untuk pembangunan negara,” tambah Penolong Bendahari DAP Kebangsaan itu.

Menurut beliau lagi, fenomena di mana jumlah perbelanjaan mengurus meningkat menjadi RM217.7 bilion menjadi satu lagi rekod baru.

“Jumlah ini merupakan 82.4 peratus dari jumlah bajet, ia mencerminkan tanggungan kerajaan yang semakin berat manakala jika dibandingkan dengan jumlah perbelanjaan pembangunan, jumlahnya jatuh ke paras 17.6 peratus iaitu RM46.5 bilion yang diperuntukkan untuk tujuan pembangunan negara,” jelasnya lagi. – Roketkini.com