Berita

GST ibarat pontianak kedua bagi orang Sabah

KUALA LUMPUR, 30 OKTOBER: “Ibarat membawa pontianak kedua,” demikian bidalan Ahli Parlimen DAP Kota Kinabalu Jimmy Wong Sze Phin tentang beban yang akan ditanggung rakyat negeri Sabah dengan perlaksanaan GST selain dasar kabotaj yang dikenakan terhadap barangan keperluan negeri itu.

Menurut beliau, gabungan GST dan dasar kabotaj terhadap negeri itu akan membuatkan golongan yang miskin akan terus miskin dan terbeban katanya dalam teks ucapan Bajet 2014 di Parlimen.

“Hidup pun susah, mati pun susah. Hanya Kerajaan saja yang untung, hanya BN dan kroni-kroninya saja yang kaya dan senang. Semua rakyat terpaksa membayar cukai sepanjang umur, dari masa lahir sampai mati; dengan izin, from cradle to grave dari membeli produk keperluan bayi hingga membayar pangangkutan van jenazah dan keranda.

“Apabila GST bermula, maka rakyat Sabah yang sudah dibebani dengan kos tinggi akibat dasar kabotaj akan bertambah susah dan menderita kerana GST adalah “hantu pontianak” kedua yang akan gigit sampai ke tulang rakyat negeri Sabah,” katanya.

Beliau menegaskan, kerajaan seharusnya mencari jalan bagaimana membantu rakyat menambah pendapatan mereka dan melaksanakan langkah-langkah yang dapat membawa rakyat keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Saya meminta agar kerajaan bersimpati dengan rakyat Sabah. Janganlah bawa itu hantu pontianak kedua (GST) ke Sabah. Sudahlah Sabah paling miskin, kedatangan GST pasti buat orang Sabah jadi papa kendana. Sudah miskin tambah miskin lagi,” kata Pengerusi DAP Sabah itu.

Jimmy turut menambah bahawa perkara yang sepatutnya dijawab kerajaan Barisan Nasional (BN) ialah sama ada Bajet 2014 ini yang akan membasmi kemiskinan?

“Rakan-rakan BN hanya sibuk menafikan GST akan bebankan rakyat, tetapi itu hanya untuk alihkan perhatian rakyat. Rakan-rakan BN langsung tidak berani tanya Perdana Menteri, bagaimanakan bajet ini boleh membasmi kemiskinan? Soalan ini langsung tidak dijawab dalam ucapan bajet.

“Kalaulah GST tidak akan membebankan rakyat miskin, kenapa pula kerajaan memberi bantuan tunai kepada penerima BR1M, iaitu rakyat yang miskin?” ujar beliau. – Roketkini.com