Berita

Selangor lancar Program ADUN Muda, beri peluang pelajar tahu prosiding sebenar persidangan

SHAH ALAM, 30 OKTOBER: Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) Selangor akan menganjurkan Program Adun Muda Selangor 2013 mulai 13 hingga 18 Disember ini untuk memberi peluang kepada generasi muda merasai prosiding sebenar Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai wakil rakyat.

Program yang dibuka kepada pelajar institut pengajian tinggi (IPT) dan badan bukan kerajaan (NGO) anak muda serta persatuan mahasiswa itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri bukan hanya sekadar mendidik golongan muda mengenai peranan dan tanggungjawab ADUN tapi memberi pendedahan kepada kancah politik di peringkat awal.

Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh Tseow Suan berkata, objektif program itu adalah untuk memupuk sifat kepimpinan dan saling bekerjasama di kalangan peserta serta melahirkan bakal pemimpin berkaliber pada masa akan datang.

“Peranan kita adalah untuk mendidik generasi muda di negeri ini dan memberi peluang mereka merasai prosiding sebenar sidang DUN.

“Dalam menjalankan tugas sebagai ADUN, selalu kita dapati ada kekeliruan antara penduduk, ramai yang tidak mengetahui peranan utama ADUN. Peranan ADUN bukan hanya sekadar menghadiri majlis jamuan makan, perkahwinan, gotong-royong tapi kami mempunyai tugas lebih besar daripada itu di dalam dewan.

“Untuk itu, melalui program ini dan ke arah melaksanakan pembaharuan, kita berharap dapat memberi pendedahan awal kepada rakyat terutama golongan muda,” katanya yang juga ADUN DAP Subang Jaya pada sidang media selepas pelancaran di Pejabat Speaker, Bangunan Dewan Negeri, Shah Alam, semalam.

Timbalan Speaker DUN, Nik Nazmi Nik Ahmad; ADUN DAP Damansara Utama, Yeo Bee Yin; ADUN DAP Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran dan ADUN PAS Gombak Setia, Hasbullah Ridzwan, hadir sama.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata, program itu dibuka kepada pelajar berumur 18 hingga 24 tahun.

Katanya, peserta juga akan diberi peluang menyuarakan pendapat dan bertanya kepada pihak kerajaan mengenai polisi, khususnya yang memberi impak kepada golongan muda, selain turut diberi kesempatan mencadangkan usul bagi memperkenalkan undang-undang baru di Selangor.

“Pada tahun ini, hanya 30 pelajar yang akan dipilih menyertai program ini. Jika sambutan menggalakkan, kita merancang untuk melakukan program ini sebanyak dua kali tahun depan.

“Peserta akan memainkan peranan sebagai ADUN dan kita mahu semua peserta nanti dapat menyuarakan hujah dan sebagainya secara aktif.” ujarnya.

Sehubungan itu, mereka yang berminat menyertai program boleh membuat permohonan atas talian di laman sesawang www.adunmudaselangor.com, sebelum 8 November ini.-Roketkini.com