Berita

Subsidi gula orang miskin dihapus, subsidi gas orang kaya dikekal: Guan Eng

KUALA LUMPUR, 31 OKTOBER: Pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mulai 1 April 2015 akan menyumbang pendapatan berganda kepada Kerajaan Persekutuan daripada RM16.4 bilion setahun kepada RM32 bilion setahun.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, rakyat Malaysia mahukan masa depan mereka yang lebih cerah buat anak cucu, agar mereka diberi peluang saksama, dilayan secara bermaruah dan hidup dengan lebih makmur dan aman; tidak seperti generasi terdahulu.

Katanya, rakyat Malaysia juga tidak mahu dipecah-belah dan dibezakan antara Melayu dengan bukan Melayu, Muslim dengan bukan Muslim atau antara negeri Pakatan Rakyat dan sebaliknya.

“Rakyat Malaysia yang beragama Hindu turut rasa dipinggirkan, apabila sensitiviti agama mereka diinjak-injak di sekolah, kuil mereka dirobohkan dan rayuan memboikot sidang CHOGM bulan depan di Colombo atas alasan hak asasi manusia dan bersolidariti dengan puluhan ribu warga Tamil yang dibunuh kerajaan Sri Lanka, tidak diendahkan.

“Mereka mahu bersatu atas nilai keadilan, kebebasan, demokrasi, integriti dan kebenaran, bukannya menggunakan ketakutan dan kebencian untuk menutup korupsi dan salah guna kuasa.

“Kita mahu supaya masalah hutang negara yang berkembang serta defisit yang bertambah ditangani supaya tidak mengenakan cukai atau menarik balik subsidi kepada orang miskin tanpa menarik balik subsidi daripada yang kaya,” katanya dalam perutusan sempena Deepavali 2013, Sabtu ini

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan mempertikaikan tindakan kerajaan menarik balik subsidi gula untuk orang miskin yang hanya akan dapat menjimatkan RM513 juta setahun tanpa menyentuh langsung subsidi gas untuk pengeluar tenaga IPP yang kaya raya sebanyak RM12 bilion setiap tahun.

Menurutnya, kenapa bercakap mengenai mengurangkan perbelanjaan apabila hutang negara terus meningkat sehingga RM541 bilion pada akhir tahun ini berbanding RM502 bilion pada 2012?

Beliau berkata, walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa defisit bajet 2014 telah berkurang daripada 4% kepada 3.5% daripada KDNK, Fitch Ratings tidak teruja dan terus mengekalkan unjuran kredit negatif untuk Malaysia.

Katanya, ini jelas menunjukkan bahawa Fitch Ratings meragui komitmen Najib Razak untuk mengurangkan defisit belanjawan Persekutuan berikutan pendedahan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua bahawa bertambahnya hasil yang dikutip sebanyak RM14.4 bilion tidak langsung menurunkan defisit.

“Daripada menurunkan defisit belanjawan 2013 daripada 4% kepada 2.6% KDNK, atau jumlah defisit daripada RM39 bilion kepada RM26 bilion, jumlahnya tetap sama pada RM39 bilion. Dengan kata lain, lebihan RM14.4 bilion itu telah pun dibelanjakan.

“Jelas sekali, kerajaan tidak serius hendak mengurangkan defisit apabila membazirkan wang lebih yang diterima daripada projek gajah putih seperti projek Menara Warisan 100 tingkat bernilai RM5 bilion; serta enggan mengambil tindakan terhadap kesalahan yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang berjumlah RM6.5 bilion.

“Cukai GST 6% juga akan memaksa orang miskin selain 94% populasi negara yang tidak membayar cukai, untuk membayar cukai buat pertama kali. Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Mohd Irwan Serigar Abdullah mengakui bahawa kerajaan akan mengutip lebih banyak hasil daripada cukai GST 6% berjumlah RM23.18 bilion dalam masa sembilan bulan pertama pelaksanaan,” ujarnya.

Menurut Irwan, seandainya kerajaan meneruskan cukai SST ia hanya akan mengutip hasil sebanyak RM14.4 bilion bagi jangka masa serupa, sebaliknya menjangka akan mengutip hasil menerusi GST berjumlah RM32 bilion setahun mulai 2016 sedangkan hasil SST bagi 2013 dijangka dikutip hanya RM16.4 bilion.

“Dengan menggantikan SST dengan GST, Kerajaan Persekutuan boleh meningkatkan hasil pendapatannya dua kali ganda yang akan dikenakan terhadap semua 27 juta rakyat Malaysia iaitu RM32 bilion setahun bermakna secara purata setiap warga Malaysia akan membayar GST RM1,200 setahun.

“Seperti juga semua rakyat Malaysia, penganut agama Hindu juga akan meraikan Deepavali GST dengan membayar lebih banyak cukai tanpa harapan untuk membasmi rasuah mahupun melihat perkhidmatan kerajaan yang lebih baik.-Roketkini.com