Rencana

Badan boleh kempis, bengkang ubi pun naik harga – Oleh Rugayah Selamat

rugayahselamatSEMPATLAH minggu lepas Kak Yah singgah rumah mertua di Sabak Bernam bertanya khabar. Ialah, dah bertangguh dua minggu baru berkesempatan nak ziarah. Siapa lagi kalau bukan adik beradik anak menantu. Seronok benar Kak Yah tengok mak. Kuat lagi mencangkul, mengupas kelapa. Maklumlah, bila duduk di kampung, banyaklah benda sihat boleh dibuat. Taklah terperap dalam opis macam kita-kita sekarang ni.

Habis bergotong-royong masak, makan kerang mentarang dibuat sup segala. Dijamu pula lepat pisang dan bengkang ubi. Kebetulan adik ipar Kak Yah yang duduk jaga mak sekarang ni berniaga kuih kecil-kecilan dihantar ke warung-warung. Dapatlah sikit-sikit buat belanja dapur beli tudung kata orang. Alhamdulillah, elok saja Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ambil alih kerajaan, bil air pun tak pernah dibayar. Jimatlah duit orang kampung.

Bab bayar membayar ni bagi kita orang perempuan sensitif sikit, bukan maknanya kedekut tapi mungkin kita ni lebih cermat daripada cik abang. Tapi dalam jimat-jimat, kadang-kadang tergelincir juga di Sogo.

Kak Yah panggil adik ipar tu Zah sahaja, umur dia sudah pun masuk 34, tahunbil a ditanya bila nak kahwin, Zah kata dia tak fikir pun sangat fasal perkara tu. “Ada jodoh, kahwinlah. Sekarang ni eloklah Zah jaga mak,” katanya.

Kesian juga Kak Yah tengok Zah, baik orangnya, pandai masak, pandai pula mencari duit berdikari. Bila habis hantar kuih pagi-pagi, ada saja kerja rumah dibuatnya. Dalam dua tahun dulu ada orang datang meminang, ditolak Zah sendiri sebab tak berkenan perangai D yang tak lekat kerja. Asal tak sampai dua tiga bulan, dah bertukar taukeh. Panas baran kata orang. Daripada bersuamikan lelaki panas baran, eloklah membujang.

Ligat bersembang dengan mak, Zah pun ada masa tu sambil makan depan TV. Kami bertiga terkejut bila Datuk Najib umumkan kenaikan harga gula 34 sen. Betul, Kak Yah sampai tercengang, terkejut dengan pengumuman dalam Bajet 2014 petang tu.

Kak Yah tengok mak dah kerut dahi, “Naik lagi….,” kata mak. “Lepas ni kuih kamu tu kenalah naik sikit,” kata mak pada Zah. Dia tersenyum saja. Masa harga gula naik dulu pun dia tak pernah nak naikkan harga kuih. Melainkan dikecilkan sedikit saiz potongnya kata Zah.

Cerita harga gula naik ni sampai sekarang jadi bahan bualan kawan-kawan ofis Kak Yah. Nak kata buat ‘dosa kering’ pun bukan juga. Iyalah, kita pun bising sebab kita ni cari duit menyara diri dan keluarga. Daripada kerani sampaikan ke CC samalah bisingnya. Memang tak terkurang, memang tak terlebih.

Manalah tak bising, Kak Yah ni walau pun badan naik al-maklumlah seiring usia, ada masa dia turun juga kalau jaga makan. Tapi bila gula naik, ibarat kata orang macam badan naik tak nak turun-turun. Siapalah yang tak geram.

Masa dengan mak dan Zah petang tu, melopong juga Kak Yah sekejap. Bukan apa, bila harga gula dah naik, takkanlah harga lepat pisang memandai-mandai nak turun. Kenalah ikut kata Zah.

Cerita naik harga ni nampaknya macam tak boleh nak sudah. Kalau dulu, orang cik abang Kak Yah, yang bawak kereta motor bising sebab minyak naik harga, sekarang ni, pangkat makcik-makcik pun dah mula bising sampaikan nak beli bengkang ubi pun kena berkira-kira dulu.

Nampaknya, kita ni makin susah, bukan makin senang. Kenalah pandai-pandai berjimat. Tapi, entah apa lagi yang akan dibodek Awang Selamat paper Utusan tu. Meluat betul rasanya.

Kak Yah memang hairan sangat. Kerajaan Barisan Nasional sendiri tak segan mengaku merekalah pembela rakyat, juara itu ini, pandai jaga duit kerajaan, tak jemu nak bagi kebajikan. Alih-alih, yang dicakap tak dibuat, yang orang tak suka dibuatnya. Sampai bila kita nak ikut kata Husin Mak Limah, “Sabor ajelah…?”-Roketkini.com