Rencana

“Hal peribadi juga politik”. Kalau bukan sekarang, bila lagi? Oleh Wong Shu Qi

LAPAN tahun sudah berlalu sejak World Economic Forum melancarkan Laporan Jurang Gender Global (The Global Gender Gap Report) amat mengecewakan apabila Malaysia kekal di takuk yang sama berbanding bergerak mendaki tangga kedudukan yang lebih tinggi daripada segi skor, sementara perubahan dalam kedudukan itu adalah disebabkan bertambahnya penyertaan negara dalam lapan tahun lalu.

Malaysia berada pada kedudukan 102 daripada 136 negara dengan markah 0.652 (1.00 saksama, 0.00 tidak adil) dalam laporan itu bagi 2013. Markah itu berkurangan sebanyak 0.002 kerana sub-indeks keterlibatan ekonomi yang berkurangan sebanyak 0.009 menjadi 0.590.

Empat kriteria yang digunakan untuk menilai jurang gender adalah seperti berikut: keterlibatan dan peluang ekonomi, pencapaian pendidikan, kesihatan dan kemandirian, serta pemerkasaan politik.

Rajah di bawah ini menunjukkan kepegunan dalam senario Malaysia:table rencana suki

Begitu pun masih ada sesuatu yang boleh dibanggakan: Malaysia cemerlang dalam merapatkan jurang gender dalam soal pencapaian pendidikan, memandangkan kini terdapat lebih ramai mahasiswi berbanding mahasiswa yang menjalani pendidikan di institusi pengajian tinggi.

Namun adalah amat membingungkan apabila kita melihat kadar keterlibatan ekonomi wanita agak rendah berbanding rekod pencapaian akademik pelajar wanita. Entah bagaimana, populasi wanita berpendidikan tinggi ini nampaknya tidak kelihatan terampil dalam tenaga kerja negara.

Kita sedia maklum bahawa terdapat perkaitan yang rapat antara jurang gender dengan daya saing nasional, pendapatan dan pembangunan. Walaupun demikian, kadar keterlibatan wanita Malaysia dalam tenaga kerja nasional kekal tidak berganjak untuk 30 tahun lalu sementara negara jiran bukan sahaja jauh ke depan di rantau ini, malah menjadi contoh di peringkat global.

Kita mempunyai kadar keterlibatan wanita sebanyak 46% dalam tenaga kerja, manakala kadar keterlibatan lelaki adalah 79%. Ini bermakna terdapat sekurang-kurangnya 25% daripada populasi terpelajar yang masih tidak digunakan bagi membangun ekonomi negara.

Wanita membentuk separuh daripada populasi Malaysia dan juga jumlah populasi dunia; jelas sekali kita tidak akan dapat maju ke depan tanpa membabitkan kaum wanita. Malaysia sudah lama tersangkut dalam perangkap pendapatan sederhana untuk lebih daripada 20 tahun. Adalah tidak keterlaluan jika kita katakan bahawa ini adalah perjuangan yang jika tidak dilakukan sekarang, bila lagi?

Berapa tahun telah dibazirkan dengan kegagalan merapatkan renggang gender dan berapa tahun lagi harus kita tunggu untuk mencapai daya saing yang lebih hebat di peringkat nasional selain masyarakat yang berpendapatan tinggi?

Kerajaan Persekutuan mesti didesak menunjukkan komitmen yang lebih serius untuk memperbaiki keterlibatan wanita di dalam pasaran kerja, dengan merangka lebih banyak polisi yang berorientasikan keluarga dan lebih mesra wanita; serta melaksanakannya tanpa banyak lengah.

Objektif kerangka polisi tersebut seharusnya bagi memastikan kedua-dua ibu bapa dapat berkongsi tanggungjawab secara saksama dan mengurangkan bebanan ibu bekerja. Selain daripada dilihat sebagai pengasuh utama kanak-kanak, mereka juga perlu bersaing dengan kaum lelaki dalam lapangan yang masih belum saksama setakat ini.

Hal peribadi itu juga adalah hal politik. Kalau bukan sekarang, bila lagi? Kerajaan mesti memiliki iltizam politik untuk menangani dilema yang dihadapi wanita bekerja Malaysia saban hari. Pusat jagaan kanak-kanak yang bermutu, diberi insentif, dengan harga berpatutan atau lebih baik lagi diberi subsidi; mesti didirikan bagi menggalakkan kaum wanita terpelajar supaya kekal sebagai tenaga kerja. Jika tidak, satu dekad lagi akan terbazir dalam usaha merapatkan renggan antara gender.

Wong Shu Qi ialah ADUN Senai, Johor merangkap Penolong Setiausaha Publisiti Wanita DAP.