Berita

Pengawal tembak pegawai bank ada MyKad palsu, kementerian perlu bertanggungjawab

KUALA LUMPUR, 4 NOVEMBER: DAP mahu Kementerian Dalam Negeri bertindak segera dan bertanggungjawab terhadap kematian tragik seorang Pegawai Ambank Norazita Abu Talib, 37, akibat ditembak pengawal keselamatan dalam kejadian pada 23 Oktober baru-baru ini.

Ini kerana, pengawal itu berjaya melepasi tapisan kementerian itu dan pihak polis walaupun memiliki MyKad palsu untuk mendapatkan lesen bagi mengendalikan 10 jenis senjata api dan peluru.

Ahli Parlimen DAP Serdang, Dr Ong Kian Ming ketika dihubungi berkata, persoalan besar yang menjadi tanda tanya dalam kes ini bagaimana pengawal yang memiliki MyKad palsu itu boleh melepasi tapisan pihak Kementerian Dalam Negeri.

“Memandangkan suspek itu melepasi tapisan Kementerian Dalam Negeri, kita harap Kementerian bertanggungjawab dan Menterinya wajar meletakkan jawatan.

“Kita juga mendesak kementerian menjalankan satu siasatan menyeluruh berapa banyak lagi MyKad palsu yang berada dalam sistem data mereka,” katanya.

Dalam kejadian malang itu, pengawal keselamatan bernama Ardi bin Amza beralamat di Tawau Sabah seperti yang tertera dalam kad pengenalannya melarikan wang tunai berjumlah RM450,000 setelah menembak mati pegawai bank Norazita Abu Talib.-Roketkini.com