Berita

Najib usah berlakon negarawan bersikap sederhana

KUALA LUMPUR, 4 NOVEMBER: Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya berhenti berlakon umpama negarawan yang bersikap sederhana di hadapan media antarabangsa.

Pua berkata, jika Najib tidak dapat mengamalkan apa yang diucapkan sebagai ‘sederhana’ di negara sendiri, beliau tidak mempunyai locus standi untuk berlagak sedemikian.

Menurutnya, panggilan Najib kononnya untuk membawa ‘gerakan kesederhanaan global’ juga hanya akan mendedahkan sikap hipokrit beliau di arena global dan memalukan negara.

Najib baru-baru ini ditemubual oleh Christiane Amanpour dari CNN selama 12 minit dan beberapa agensi berita antarabangsa lain.

“Ketika ditemubual CNN, ekspresi wajah Najib memberitahu dunia bagaimana beliau tidak selesa menjawab soalan yang mendedahkan wajah pemimpin ‘sederhana’ ini tapi memenuhi kehendak puak pelampau dan konservatif agama hanya untuk ‘memastikan keamanan dan keharmonian’.

“Apabila ditanya mengenai mengapa begitu meningkat golongan pelampau agama di Malaysia, Najib mula beralih nada dengan menyatakan keutamaannya adalah untuk memastikan keamanan dan keharmonian.

“Apakah beliau memberitahu dunia bahawa tidak menjadi masalah untuk kononnya ‘bersederhana’ di platform antarabangsa, tapi sebaliknya yang berlaku di negara sendiri,” katanya dalam kenyataan.

Pua yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP menegaskan, ‘keamanan dan keharmonian’ Najib adalah semata-mata eufemisme untuk memenuhi kehendak agama paling kanan dan menyekat hak minoriti.

Jelasnya, sebagai contoh Najib memberitahu Reuters bahawa tindakannya menyekat mingguan Katolik, Herald menggunakan perkataan ‘Allah’ adalah bertujuan melindungi keselamatan awam dan keharmonian negara kerana penerbitannya diedar secara meluas.

“Keamanan dan keharmonian yang dinyatakan Najib ini mengakibatkan penganiayaan kepada golongan minoriti di Malaysia. Pengagihan Herald yang didakwa secara meluas hanya diedarkan sebanyak 14,000 naskah di gereja dalam negara dengan 30 juta penduduk.

“Beliau sama sekali tidak mengutamakan prinsip ‘sederhananya’ kepada golongan pelampau agama malah mengakui kepada media antarabangsa bahawa bersedia berkorban ‘prinsipnya’ itu agar kuasa reaksioner gembira, menginjak-injak hak minoriti dan mengekalkan definisi ‘keamanan dan keharmonian’ kerajaannya,” ujarnya.-Roketkini.com