Rencana

PRK Sungai Limau: Siapa yang dapat, siapa pula yang kena? – Oleh Hafiz Zainuddin

HARI ini adalah hari paling panas di Sungai Limau walaupun ribut petir diramalkan melanda pada sebelah petang. Panasnya Sungai Limau kali ini kerana berlangsungnya Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu disebabkan kematian penyandangnya, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Ini adalah PRK kedua berlangsung selepas Pilihan Raya Umum ke-13, selepas PRK Kuala Besut, di Terengganu, seluruh pemain dan pemerhati politik seluruh negara bertumpu di Sungai Limau. PRK ini merupakan ujian berat buat kedua-dua parti yang bertanding, PAS mewakili Pakatan Rakyat (PR) dan UMNO mewakili Barisan Nasional (BN).

Biarpun kerusi DUN Sungai Limau disandang PAS, namun, orang yang paling terdesak untuk memenangi PRK ini sudah tentu Menteri Besar Kedah yang baru, Datuk Mukhriz Mahathir. Mahu atau tidak, Mukhriz terpaksa berusaha keras untuk menawan kerusi ini dan tidak bergantung pada keramat ‘anak bapak’ yang disebut-sebut orang.

Tun Mahathir sudah hilang ajaib tidak seperti dulu melainkan sebuah nama yang dikenang sebagai Bapa Pembangunan negara. Malah, pemerhati politik juga melihat kenyataan ini terbukti apabila beliau gagal ‘menjatuhkan’ pengaruh Najib sepertimana begitu mudah beliau menggelecek penyandang terdahulunya Tun Abdullah Ahmad Badawi keluar daripada Putrajaya dengan pelbagai kritikan terbuka.

Apa yang menarik, pengaruh Mahathir juga terus melemah apabila anaknya Mukhriz yang bercita-cita mahu menempatkan diri sebagai seorang Naib Presiden UMNO kecundang pada pemilihan UMNO bulan lalu. Adakah Mukhriz dan Mahathir akan terus bersedih pada PRK Sungai Limau hari ini.

Politik beras kampit

PRK merupakan medan tempur yang dramatik berbanding pilihan raya umum. Masa inilah juga ramai ahli PAS kononnya masuk UMNO. Waktu inilah juga bantuan kebajikan sampai ke bendul pintu. Saat ini juga jalan diturap, bumbung diganti. Selain itu, kita berasa lucu kerana masa ini juga baru nampak orang itu nak pakai kain pelikat, pakai kopiah. Inilah drama yang sering kita saksikan setiap PRK. Inilah budaya UMNO-BN. Inilah budaya politik hipokrit yang rakyat sudah maklum.

Di saat UMNO memberi bantuan sekampit dua gula dan beras, mereka juga kurangkan subsidi gula. Di waktu mereka melaungkan perpaduan nasional, mereka membiarkan sahaja pertubuhan radikal mengeluarkan kenyataan berbahaya membakar sentimen. Ketika rakyat berhempas pulas mencari penghidupan yang lebih baik, cukai GST pula akan dikenakan. Kesusahan rakyat ini yang menjadi modal politik mereka; politik pancing dan politik umpan.

Hari ini adalah hari penentuan. Soal kalah atau menang adalah soal kedua. Perkara mustahak yang harus diberi pertimbangan ialah ke mana arah negeri dan negara ini mahu dibawa. Adakah keborosan dan ketirisan melampau yang dilakukan kerajaan BN mampu membawa penghidupan yang lebih baik? Adakah pengundi Sungai Limau terlalu murah untuk dibeli dengan sekampit gula dan beras semata-mata mahu memenangkan jentera Mukhriz?

Warung dan hotel yang penuh dengan petugas pilihan raya akan susut sedikit demi sedikit. Sungai Limau selepas ini akan kembali tenang seperti biasa jauh daripada keributan kempen parti politik. Namun, adakah negara ini mampu kembali tenang setelah hasil mahsul bumi tercinta ini diratah oleh pemimpin yang mengaku mengutamakan kemaslahatan rakyat? Hanya anda yang kenal mana intan mana permata, mana yang benar dan mana yang dusta.

Ayuh Sungai Limau, sampaikan mesej protes dan mesej perubahan anda! Selamat mengundi.-Roketkini.com