Berita

PRK Sungai Limau penentu kegagalan ketiga Mahathir: Kit Siang

KUALA LUMPUR, 4 NOVEMBER: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, Pilihan Raya Kecil kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Limau, hari ini adalah penentuan samada Dr Mahathir Mohamad dan Mahathirisme akan menghadapi kegagalan ketiga atau terakhir sejak enam bulan lalu.

Katanya, kegagalan Mahathir dan Mahathirisme sebelum ini adalah dalam Pilihan Raya Umum ke-13 lalu apabila pengundi Melayu tidak termakan dengan pembohongan dan dusta sehingga beliau menang di Gelang Patah dengan majoriti lebih 14,000 undi.

“Dalam kempen PRU-13 di Gelang Patah saya menyeru ke arah yang sama sekali berlawanan dengan pembohongan Mahathir dan Mahathirisme iaitu menyeru kaum Melayu, Cina, India, Iban, dan Kadazan bersatu di bawah wawasan Impian Malaysia untuk membina masyarakat Malaysia yang lebih bersatu, demokratik, bebas, adil, berdaya saing serta makmur demi kebaikan semua warga Malaysia.

“Mahathir dan Mahathirisme juga gagal memberi kemenangan kepada puak pelampau di Shah Alam dan Pasir Mas yang diwakili oleh Presiden Perkasa, Ibrahim Ali dan Naib Presiden Perkasa, Zulkifli Noordin.

“Malah, selepas PRU-13, Ketua UMNO Bahagian Shah Alam menyebut bahawa jika Mahathir tidak berkempen di Shah Alam, BN mungkin mendapat lebih banyak undi.

“Mahathir dan Mahathirisme seterusnya berdepan kekalahan dalam pemilihan UMNO bulan lalu dan menyalahkan politik wang sebagai punca beliau gagal memastikan anaknya, Mukhriz Mahathir, menang sebagai Naib Presiden UMNO.

“Pilihan Raya Kecil Sungai Limau, hari ini (4 November) adalah genap enam bulan selepas PRU-13 yang diadakan pada 5 Mei lalu.

“Mahathir hari ini muncul dalam kempen UMNO/BN di Sungai Limau dan mengambil pendirian bahawa politik wang ke atas Mukhriz dalam pemilihan UMNO adalah sesuatu yang jelek tetapi “OK” untuk diamalkan UMNO dan Mukhriz pada PRK Sungai Limau ini,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, persoalan yang lebih menarik ialah sama ada Mahathir dan Mahathirisme akan menghadapi kegagalan ketiga atau mungkin yang terakhir sejak enam bulan selepas PRU-13 pada PRK Sungai Limau hari ini apabila calon PAS dan Pakatan Rakyat, Mohd Azam Samat mampu mempertahankan kawasan itu, terutama dengan majoriti undi yang lebih besar.

Katanya, kemenangan calon Pakatan Rakyat itu akan menjadi berita terbaik bagi negara ini.

Beliau berkata, minggu lalu, bekas Perdana Menteri itu menyatakan kumpulan pelampau sedang menguasai Malaysia ketika BN sedang bergelut untuk menangani masalah kemerosotan sokongan orang ramai terhadap pakatan parti pemerintah itu walaupun ia masih menguasai kerajaan.

“Dakwaan Mahathir bahawa kerajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak lemah dan ia merasa perlu untuk melayan “tuntutan-tuntutan tidak munasabah” daripada puak pelampau untuk mengekalkan sokongan orang ramai adalah benar, tetapi beliau melakukan kesilapan apabila mendakwa puak pelampau itu terdiri daripada anggota Pakatan Rakyat.

“Hakikatnya, Mahathir sendiri boleh dianggap mewakili puak pelampau berkenaan yang menjadikan “kumpulan majoriti yang moderat” sebagai tebusan dengan segala pembohongan mereka sehingga menjejaskan usaha pembinaan dan pembangunan negara serta penyatuan warga,” ujarnya.

Menurut Kit Siang, beliau pada majlis pengumuman calon Pakatan Rakyat di Sungai Limau, 21 Oktober lalu, sudah menyatakan harapan agar PRK ini menjadi model bagi politik bersih, jujur dan bermaruah dengan memastikan pembohongan dan kepalsuan tidak disebarkan dan taktik serangan peribadi atau politik wang tidak digunakan.

Bagaimanapun, katanya, sejak hari pertama kempen lagi, pembohongan dan taktik serangan peribadi menjadi isi utama kempen UMNO/BN pada PRK Sungai Limau, antaranya pembohongan mengenai DAP yang kononnya mahu membentuk negara Kristian di Malaysia, menghapuskan sistem Raja Berperlembagaan, anti-Melayu dan anti-Islam.

“Segala pembohongan yang karut itu tidak berbeza dengan pembohongan yang disebarkan Mahathir pada PRU-13 lalu apabila membuat tuduhan palsu dan tidak bertanggungjawab bahawa saya bertanding di Gelang Patah untuk menimbulkan ketegangan antara Melayu dan Cina di Johor dan mahu orang Cina Johor “membenci Melayu”; dan DAP menolak konsep perkongsian kuasa Melayu/Cina/India kerana kaum Cina mahu menghapuskan kuasa politik orang Melayu,” katanya.-Roketkini.com