Berita

Bahaya TPPA: AS intip Malaysia melalui pintasan panggilan telefon

KUALA LUMPUR, 6 NOVEMBER: Demi kedaulatan Malaysia, DAP menggesa kerajaan menghentikan segera rundingan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) dengan Amerika Syarikat (AS) kerana negara itu melakukan intipan berniat jahat terhadap Malaysia yang boleh mengundang bencana.

Perkara itu sudah berlaku ke atas Canselor Jerman, Angela Merkel apabila menyedari perbualan telefonnya dipantau secara sulit.

Berikutan itu, kerajaan Jerman telah menggantung program SWIFT bersama AS yang bertujuan menjejaki sumber dana kepada pengganas manakala negara Kesatuan Eropah pula merancang untuk menghentikan rundingan Perkongsian Perdagangan dan Pelaburan Transatlantik (TTIP).

Kesal dengan respon lemah kerajaan Malaysia terhadap perkara itu, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengambil pendirian yang lebih tegas.

“Untuk isu keselamatan dan kedaulatan negara, sekadar hantar memorandum adalah tindakan kebudak-budakan. Kita mahu kerajaan Malaysia memanggil wakil kedutaan AS menjelaskan kepada kerajaan apa sebenarnya yang mereka lakukan.

“Keduanya kita minta Menteri Luar jelaskan mengenai perkara ini kepada Ahli Parlimen,” katanya.

Beliau berkata, perjanjian TPPA ini juga bukan sahaja akan menyebabkan kerajaan Malaysia dipantau tetapi juga termasuk rakyat biasa.

“Mereka bukan sahaja boleh pantau panggilan telefon menteri dan ahli perniagaan tetapi terus kepada telefon kita,” ujar Santiago.

Bagi Ahli Parlimen PKR Bayan Baru, Sim Tze Tzin, beliau mahu pentadbiran Najib lebih tegas dan lantang membantah tindakan intipan yang dilakukan AS sepertimana yang diambil negara Eropah.-Roketkini.com