Berita

Kerajaan digesa tangguh GST, penuhi dulu lima syarat penting

KUALA LUMPUR, 6 NOVEMBER: Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) jika tidak mampu memenuhi lima syarat penting yang belum tertunai.

“Saya akan sokong pelaksanaan GST, syaratnya ia perlu ditangguhkan sehingga kerajaan berjaya mencapai lima kondisi iaitu melaksanakan gaji minimum secara menyeluruh di seluruh Malaysia, sekurang-kurangnya 50 populasi pekerja membayar cukai pendapatan (kini 14 peratus) dan sekurang-kurang 50 peratus syarikat membayar cukai pendapatan korporat.

“Pengurangan perbelanjaan mengurus kerajaan sehingga mencapai nisbah 60:40 dengan perbelanjaan pembangunan (kini 80:20), dan pemulihan semula RM28 bilion setahun daripada rasuah serta kepincangan seperti yang dilaporkan Ketua Audit Negara.

“Selain itu, pungutan GST harus dikongsi bersama kerajaan negeri dengan kadar 50-50 peratus supaya ia boleh diguna untuk membangunkan negeri masing-masing. Jika lima syarat ini sudah dicapai dan dipenuhi, maka saya akan sokong pelaksanaannya,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Sim yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAPSY Kebangsaan mengecam Bajet 2014 kerajaan yang disifatkan sebagai bajet ikat perut kerana kegagalan mereka mentadbir negara.

“Bajet 2014 adalah bajet ikat perut yang terpaksa dilaksana kerana kegagalan kerajaan mentadbir hingga menyebabkan hutang negara hampir mencecah had siling hutang.

“Kerajaan juga menjadikan rasuah sebagai budaya dalam semua peringkat pentadbiran sehingga Ketua Audit Negara pada 2009 melaporkan segala penyelewengan ini menyebabkan negara rugi RM28 bilion setahun.

“Bajet ini adalah bajet pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu, jadi pada saya Perdana Menteri mengambil kesempatan untuk memperkenalkan dasar yang menyakitkan rakyat sebab tidak perlu takut hilang undi buat seketika,” ujarnya.-Roketkini.com