Berita

Menteri Kesihatan bohong kos kesihatan tidak terjejas selepas GST

KUALA LUMPUR, 6 NOVEMBER: DAP menganggap Menteri Kesihatan, Datuk Dr S Subramaniam jahil dan berbohong berhubung dakwaan kononnya kos penjagaan kesihatan tidak akan terjejas dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 2015.

Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, walaupun produk atau perkhidmatan kesihatan dikecualikan daripada cukai oleh pembekal kepada pengguna, namun hospital masih perlu membayar GST bagi semua produk dan perkhidmatan yang dibeli daripada pembekal.

Isnin lalu, beberapa media melaporkan kenyataan Subramaniam yang menyatakan rakyat Malaysia tidak perlu bimbang kerana kos penjagaan kesihatan tidak akan meningkat apabila GST dilaksanakan pada 2015.

Beliau mendakwa kos kesihatan dikecualikan daripada GST dan kementerian akan menjalankan kajian mendalam mengenainya untuk tatapan umum serta meminta semua pihak tidak membuat spekulasi mengenai perkara itu hingga mengelirukan orang ramai.

“Jika hospital mengekalkan harga ubat kepada pengguna, maka mereka akan hanya membuat keuntungan sebanyak RM2 atau margin keuntungan sebanyak 3.8 peratus.

“Subramaniam seharuskan berhenti membuat kenyataan yang mengelirukan. Beliau mungkin bermimpi di siang hari untuk mempercayai bahawa hospital di negara kita begitu bermurah hati menyediakan produk dan perkhidmatan kesihatan kepada orang ramai pada harga sedia ada dan sanggup menderita kerana kekurangan untung,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Pua yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP mempertikaikan kerana kini bukan kerana harga produk penjagaan kesihatan dan perkhidmatan yang meningkat tapi berapa banyak peningkatan.

“Dengan mengandaikan bahawa hospital adalah sangat baik dan membuat keputusan hanya untuk memindahkan kenaikan kos secara mutlak kepada pesakit, maka harga ubat yang dijual akan meningkat daripada RM55 sebelum ini kepada RM58.

“Selepas pelaksanaan GST, hospital itu akan membayar harga ubat RM50 dicampur RM3 (enam peratus GST), secara tak langsung kosnya meningkat kepada RM53.

“Jika hospital mengekalkan harga ubat kepada pengguna, maka hospital hanya akan membuat keuntungan sebanyak RM2 atau margin keuntungan 3.8 peratus,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan harga muktamad yang perlu dibayar pengguna akan menjadi RM58.30 kerana kebanyakan hospital meletakkan harga produk mereka berdasarkan margin keuntungan daripada harga kos.

“Jika hospital berhasrat mengekalkan margin 10 peratus, maka mereka akan mengenakan caj pesakit RM53 ditambah dengan kenaikan 10 peratus atau RM5.30.

“Harga muktamad yang perlu dibayar oleh pelanggan itu akan menjadi RM58.30 berbanding RM55, ini masih bermakna peningkatan sebanyak 6 peratus kepada pengguna atau bersamaan dengan caj GST,” tegasnya.

Pua menambah bahawa berdasarkan penjelasan yang diberi Kementerian Kewangan ke atas bekalan GST dikecualikan, ia adalah jelas bahawa menteri dan pimpinan BN lain tidak memahami kesan akibat pelaksanaan GST atau memilih untuk tidak bercakap benar mengenainya.

“Mereka perlu berhenti mengelirukan orang ramai dengan mendakwa bahawa tidak akan ada kenaikan harga dan bukannya memberi amaran kepada rakyat untuk bersedia menghadapi kesan GST untuk mengelak kejutan yang tidak menyenangkan,” tambahnya. -Roketkini.com