Berita

Kasihan orang kampung, penduduk miskin yang diambil tanah – Ketua Pemuda DAP Kebangsaan

KUALA LUMPUR, 6 NOVEMBER: Kerajaan diminta mempunyai belas ehsan terhadap mangsa yang kehilangan tempat tinggal akibat pengambilan tanah oleh pemaju.

Ahli Parlimen DAP Rasah, Teo Kok Seong dalam perbahasannya di Parlimen kesal dengan apa yang berlaku terhadap Kampung Hakka, Mantin Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Menurut beliau, penduduk kampung yang teraniaya kehilangan tempat tinggal tidak diberi sebarang bantuan walaupun sudah menghuni kawasan itu sejak berpuluh-puluh tahun sebelum merdeka lagi.

“Tiada seorang pun daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat turun untuk membantu ketika rumah penduduk miskin itu diroboh.

“Yang paling teruk, saya dan YB Seremban dan empat ADUN yang turun menghulurkan bantuan kepada penduduk, yang mohon secara sopan kepada pihak polis supaya kerja perobohan itu ditangguh, kami pula digari pihak polis dan dilayan seperti penjenayah,” katanya.

Ketua Pemuda DAP Kebangsaan itu berkata, jika kerajaan boleh memperuntukkan berbilion ringgit untuk pembangunan negara, mengapa perkara seperti ini tidak dipandang serius oleh kerajaan.

Tambahnya, pengambilan tanah yang berlaku ini tidak hanya membabitkan Kampung Hakka tetapi akan membabitkan beberapa kampung lain di Negeri Sembilan seperti Kampung Chu Ward, di Bahau dan Ulu Temiang di Seremban.

“Bayangkan rumah anda akan dirobohkan tanpa sebarang tindakan yang wajar dan adil. Pihak polis dan penguatkuasa pula digunakan pihak pemaju yang kaya raya untuk menghalau penduduk miskin yang mempertahan kampung halaman mereka.

“Kami mahu rakyat dijaga, dibela dan tidak dilakukan sesuka hati oleh pemaju atau kerajaan sendiri,” kata beliau.-Roketkini.com