Berita

Bukti pengundi tolak politik wang, perkauman

KUALA LUMPUR, 6 NOVEMBER: Kemenangan PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Isnin lalu membuktikan rakyat semakin matang dan menolak politik wang dan perkauman.

“Ini adalah kemenangan untuk demokrasi dan keadilan, kerana rakyat menolak politik wang dan politik kotor Barisan Nasional (BN) walaupun berjuta dibelanjakan dan dengan segala jentera kerajaan dikerah,” kata Pengerusi Interim DAP Kedah, Zairil Khir Johari ketika dihubungi.

Katanya, kemenangan PAS itu juga satu tamparan hebat kepada UMNO-Barisan Nasional (BN) bahawa rakyat semakin benci kepada politik perkauman yang sering dicanangkan.

“Tahniah Sungai Limau! Kemenangan ini bukan sekadar untuk PAS dan rakyat Sungai Limau, tetapi kemenangan untuk rakyat Kedah dan rakyat Malaysia secara umum.

“Walaupun kita sering cuba diperangkap dengan politik kebencian, pengundi Sungai Limau telah membuat pilihan yang bijak,” katanya yang juga Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera.

Rata-rata pemerhati politik berpendapat, kegagalan UMNO-BN menawan semula DUN Sungai Limau dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) memberi isyarat kepada parti itu bahawa pengundi tidak lagi mudah dipengaruhi dengan janji dan projek.

Faktor Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir juga tidak berjaya mengembalikan keyakinan rakyat di kawasan majoriti Melayu itu kepada UMNO-BN.

PRK DUN Sungai Limau menyaksikan PAS menang dengan majoriti 1,804 undi apabila calon PAS, Ustaz Mohd Azam Abdul Samat memperoleh 12,069 undi mengatasi calon BN Dr Ahmad Sohaimi Lazaim yang mendapat 10,985 undi.-Roketkini.com