Berita

Cadangan MP BN jadikan UiTM universiti diraja mengarut: Dyana Sofya

KUALA LUMPUR, 7 NOVEMBER: Cadangan Datuk Irmohizam Ibrahim, Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Kuala Selangor supaya  Universiti Teknologi MARA (UiTM) dijadikan universiti diraja bagi mengelak pihak lain terus mempertikaikannya menerima reaksi sinis dari pelbagai pihak.

Setiausaha Politik Ahli Parlimen Gelang Patah, Dyana Sofya Mohd Daud yang  juga seorang graduan UiTM, dalam kenyataan medianya berkata, pada persidangan Parlimen 1 Oktober lalu, Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latif Ahmad juga ada mencadangkan sekiranya UiTM akan memartabatkan pribumi Indonesia, minoriti Melayu Selatan Thai atau pribumi Fiji diberi peluang belajar di UiTM.

Dyana menganggap Irmohizam keliru atau tidak berada di Parlimen ketika Timbalan Menteri Pendidikan II, P Kamalanathan menjawab soalan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran mengenai pendirian kementerian dan kerajaan untuk menyalur, memberi lebih ruang supaya semua rakyat termasuk masyarakat miskin pelbagai keturunan boleh meneruskan pengajian mereka di UiTM.

“Kamalanathan yang juga Ahli Parlimen BN Hulu Selangor menjawab bahawa kementerian memang ada perancangan untuk memberi ruang kepada pelajar bukan Bumiputera di UiTM dan menyebut contoh fakulti, International Education College (INTEC), anak syarikat UiTM juga memberi ruang kepada semua pelajar tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang.

“Cadangan Ahli Parlimen BN itu amat tidak masuk akal, pertama meminta supaya UiTM menjadi universiti diraja bagi mengelak pihak lain mempertikai statusnya sebagai universiti untuk Bumiputera.

“Tetapi Kamalanathan berkata perancangan untuk membuka UiTM kepada pelajar bukan Bumiputera itu memang ada dan memberi contoh INTEC,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurut Dyana Sofya, pendirian kalangan Ahli Parlimen BN dan segelintir ahli politik bertopengkan ahli akademik adalah bertentangan mengenai isu UiTM amat mengelirukan rakyat.

Katanya, sekiranya ruang itu dibuka pada masa akan datang, status ‘Diraja’ itu patut ditarik balik kerana ia bukan lagi hanya untuk Bumiputera.

“Cadangan Ahli Parlimen Mersing itu amat tidak masuk akal kerana sanggup memperjuangkan pribumi dari negara lain daripada memberi ruang kepada rakyat Malaysia sendiri hanya kerana mereka ini dilahirkan di dalam keluarga bukan Bumiputera. Ibarat monyet di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan,” ujarnya.

Dyana Sofya lagi turut meminta supaya tidak memperkecilkan alma maternya dengan cadangan yang tidak masuk akal, sebaliknya sebagai alumni UiTM sepatutnya memperkasakan UiTM, bukannya menjadi bahan jenaka di mata dunia. – Roketkini.com