Berita

Guna lebih ramai SB, bukti pentadbiran Najib lebih teruk daripada zaman darurat

KUALA LUMPUR, 7 NOVEMBER: Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong mengecam Bajet 2014 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini yang hanya memberikan fokus kepada infrastruktur tapi mengabaikan pembaharuan Laporan Tun Dzaiddin 2005.

Beliau berkata, pengumuman Najib memberi peruntukkan berjumlah RM8.8 bilion kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengurangkan kadar jenayah tidak ada gunanya jika tidak ada sebarang pembaharuan dilakukan.

“Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM8.8 bilion yang akan digunakan untuk membina dan menaik taraf Ibu Pejabat Polis, balai dan kuarters serta membeli pelbagai peralatan seperti senjata dan motosikal.

“Namun semua ini tidak bermakna jika tiada pembaharuan dalam PDRM yang disaran Pakatan Rakyat dan Laporan Suruhanjaya Tun Dzaidddin 2005.

“Kerajaan nampaknya lebih rela meluluskan beberapa undang-undang anti-demokrasi dan anti hak asasi manusia tetapi enggan melaksanakan pembaharuan PDRM. Tanpa pembaharuan, bila beli senjata, nanti terjatuh ke dalam laut dan tandas lagi,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurut Sim yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAPSY Kebangsaan, di bawah pentadbiran Najib bilangan anggota Cawangan Khas (SB) juga menjulang tinggi.

Jelasnya, pada Julai lalu, berdasarkan maklum balas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, unjuran SB kini berjumlah 7,642 orang.

“Tapi daripada laporan Anggaran Perbelanjaan Kerajaan, saya mendapati jumlah SB yang diletakkan di bawah aktiviti ‘Risikan Keselamatan’ sebenarnya berjumlah 8,196 anggota dan diperuntukkan kira-kira RM394 juta untuk 2014.

“Operasi SB memakan 5.7 peratus peruntukan PDRM berbanding operasi Jabatan Siasatan Jenayah (CID) iaitu sebanyak 7.7 peratus.

“Daripada segi tenaga kerja, jumlah SB ialah 6.3 peratus daripada keseluruhan kekuatan PDRM berbanding CID 8.8 peratus bersamaan 11,444 anggota. Ini bermakna kekuatan unit risikan yang sering digunakan adalah hampir sama dengan penyiasatan jenayah,” ujarnya.

Tambahnya, persoalannya kini mengapa pada zaman Najib lebih ramai SB digunakan berbanding zaman darurat.

“Saya tertanya-tanya mengapa pentadbiran Najib memerlukan begitu ramai SB? Sedangkan di bawah pentadbiran mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, bilangannya berkurangan sehingga kira-kira 5,000 anggota pada 2008.

“Malah pada pertengahan zaman darurat pada 1954, SB yang sememangnya ditubuh khas untuk operasi risikan darurat hanya mempunyai 459 anggota atau kira-kira dua peratus tenaga kerja polis masa itu untuk melaksanakan tugasan berkaitan darurat. (http://www.rand.org/content/dam/rand/pubs/reports/2005/R957.pdf)

“Jadi, adakah keadaan negara kita lebih teruk di bawah tata selia Najib berbanding pada zaman darurat?,” soalnya. -Roketkini.com