Berita

Kerajaan BN bazir wang rakyat RM167.079 juta guna pesawat eksekutif

KUALA LUMPUR, 7 NOVEMBER: Ahli Parlimen DAP Seremban, Anthony Loke Siew Fook mempertikai pembaziran melampau kerajaan sebanyak RM167.079 juta wang rakyat apabila menggunakan tujuh pesawat eksekutif membabitkan 372 penerbangan sepanjang 2012.

Loke berkata, merujuk kepada jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim di Parlimen, pembaziran keterlaluan itu tidak wajar berlaku ketika kerajaan sendiri menyarankan agar rakyat berjimat cermat.

“Berdasarkan purata yang kami kira, kos setiap penerbangan yang dilakukan membabitkan perbelanjaan lebih RM489,000. Ini satu jumlah yang besar.

“Persoalannya, kenapa Perdana Menteri atau Timbalannya mesti menggunakan pesawat terbabit setiap kali pergi ke mana-mana, kenapa tidak menggunakan pesawat komersil contohnya MAS, yang kosnya sudah tentu tidak begitu banyak,” katanya.

Menurut Loke, kerajaan tidak sepatutnya melakukan pembaziran begitu banyak wang rakyat, sedangkan rakyat sendiri diminta berjimat.

“Bagaimana rakyat boleh yakin dengan kerajaan yang memerintah dengan membazirkan wang rakyat seperti wang bapa sendiri,” katanya.

Ahli Parlimen PAS Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar juga mempertikaikan tindakan kerajaan yang menyalagunakan harta kerajaan atau wang rakyat untuk kempen politik.

“Ketika berkempen di Sungai Limau, dia (Perdana Menteri) guna pesawat ini. Ini bukan program kerajaan pun, ini kempen pilihan raya, program parti politik.

“Saya nak sarankan pada 2014 ni supaya Perdana Menteri lebih berjimat cermat dan menggunakan pesawat komersil. Biarlah pesawat itu digunakan oleh Yang Dipertuan Agong saja. Tuanku pun tidak gunakan kerap. Kebanyakannya digunakan PM dan TPM sahaja,” ujar beliau.-Roketkini.com