Berita

Najib wajib kotakan janji, hukum segera menteri kebas duit projek NFC

KUALA LUMPUR, 7 NOVEMBER: DAP hari ini mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengambil tindakan tegas terhadap menteri dan pegawai yang bertanggungjawab menyebabkan kerugian berbilion ringgit wang negara termasuk skandal Perbadanan Fidlot Nasional (NFC).

Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, masa untuk Najib bercakap sudah berakhir, sebaliknya beliau harus membuktikan bahawa rakyat masih boleh bergantung bukan sekadar beretorik kosong.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyampaikan laporan. Kami juga berharap laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sudah siap pada sesi Parlimen lalu dan sedang menunggu pengesahan semasa.

“Tidak ada sebarang keperluan lagi untuk Najib menubuhkan satu lagi jawatankuasa atau pasukan petugas khas siasatan lanjut kerana beliau sudah cenderung melakukannya.

“Apa yang perlu dilakukan kini adalah menghukum menteri relevan dan pegawai kanan kerajaan yang bertanggungjawab bagi kecuaian melampaui batas dalam penganugerahan projek NFC sebab beliau berjanji kepada semua rakyat untuk melakukannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Najib dalam ucapan Bajet 2014 menyatakan kerajaan memandang serius isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang menyiasat serta mengambil tindakan ke atas lebih daripada 100 kes ‘ketidakpatuhan prosedur kewangan termasuk prosedur perolehan’.

Najib juga berkata ‘agar dapat meningkatkan keyakinan rakyat serta menjaga imej dan kredibiliti perkhidmatan awam, satu jawatankuasa khas ditubuhkan yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara untuk menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap penjawat awam tidak bertanggungjawab’.

Pua yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP menegaskan, tindakan tegas perlu diambil terhadap menteri dan pegawai kanan terbabit selepas kecaman kuat SPRM.

Menurutnya, biarpun kecewa kerana SPRM gagal mencari unsur rasuah dalam skandal RM250 juta NFC, namun laporan terperinci yang dikemukakan mengenai seluruh perjanjian yang salah wajar dipuji.

“Walaupun laporan tertangguh sebegitu lama, tetapi sudah pasti lebih baik lambat daripada tidak langsung melakukannya. SPRM telah mendedahkan bahawa Kementerian Pertanian, ketika itu diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menganugerahkan projek NFC kepada syarikat tanpa keupayaan teknikal atau kewangan.

“SPRM juga menegaskan bahawa tidak ada pertimbangan konflik kepentingan di antara mana-mana pegawai dan penerima pinjaman mudah kerajaan untuk projek itu.

“Laporan itu juga menyatakan Kementerian Pertanian ‘tidak melakukan usaha wajar’ kepada syarikat yang dianugerahkan projek itu. Mereka menyebut Kementerian Pertanian gagal memilih syarikat berwibawa menjalankan projek NFC kerana ia dipilih melalui tender terhad, syarikat yang dibenarkan untuk mengemukakan cadangan juga tidak mempunyai latar belakang teknikal atau kedudukan kewangan kukuh,” ujarnya.

Pua menambah, persoalan seterusnya bermain dalam fikiran semua rakyat kini adalah mengapa sebuah projek sebegitu penting dianugerahkan kepada sebuah syarikat yang ‘tidak mempunyai latar belakang teknikal atau kedudukan kewangan kukuh’.

“Anugerah itu termasuk projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) bernilai RM12.5 bilion yang cenderung menjadi norma bukannya pengecualian dalam pentadbiran BN dan membawa kepada syak wasangka kronisme serta rasuah. Jika bukan kronisme dan rasuah, maka paling terbaik mereka akan dilepaskan kerana ketidakcekapan dan kecuaian.

“Rakyat tidak boleh dipersalahkan kerana merasakan bahawa mereka yang bertanggungjawab terhadap salah laku ini adalah sama ada bijak untuk bersikap cuai atau sememangnya tidak dapat disembuhkan daripada penyakit tidak cekap dan cuai,” tambahnya. -Roketkini.com