Berita

UMNO kalah besar, MCA menang besar di Sungai Limau?

KUALA LUMPUR, 6 NOVEMBER: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, pemimpin MCA mendakwa undi Cina kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Isnin lalu meningkat sebanyak 732 undi berbanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei lalu.

Beliau berkata, jika berpegang kepada kenyataan dan dakwaan pemimpin MCA bermakna UMNO kalah teruk dan MCA pula menang besar dalam PRK DUN Sungai Limau itu.

Bagaimanapun, katanya, bolehkah dipercayai dakwaan pemimpin MCA itu

“Pemimpin MCA, termasuk Dr Leong Yong Kong yang disebut-sebut bakal dilantik Exco Kerajaan Negeri Kedah memberitahu media berbahasa Cina bahawa BN berjaya meraih 75.27 peratus undi kaum Cina iaitu 892 daripada 1,185 undi daripada kaum Cina dan gagal meraih walaupun satu undi tambahan daripada Melayu dalam PRK itu.

“Ini bermakna undi Cina meningkat sebanyak 732 undi berbanding PRU-13 lalu memandangkan sebelum ini MCA mendakwa BN mendapat hanya 10 peratus daripada 1,600 undi Cina pada 5 Mei lalu iaitu hanya kira-kira 892 hingga 160 undi,” katanya dalam kenyataan media.

Menurut Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, walaupun BN berbelanja besar iaitu lebih RM15 juta, tetapi calonnya, Ahmad Sohaimi Lazim hanya mendapat tambahan 465 undi iaitu 10,985 undi pada PRK itu berbanding 10,520 undi pada PRU-13.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan kepada pemimpin UMNO dan BN membuat keputusan sama ada untuk menerima analisis MCA mengenai trend mengundi di Sungai Limau atau sebaliknya.

Bagaimanapun, katanya, yang jelas PRK Sungai Limau adalah ujian utama bagi PAS dan Pakatan Rakyat bagi satu pihak serta UMNO dan BN, di pihak lain selepas enam bulan PRU-13 lalu.

“PAS dan Pakatan Rakyat menganggap kemenangan itu penting kerana tidak mengamalkan politik wang dan pembohongan sepanjang kempen itu, sebaliknya belajar daripada kelemahan supaya parti itu menjadi lebih kuat dan hebat sebagai satu kuasa pada masa depan sama ada dalam bandar atau kawasan luar bandar atau di kalangan Melayu, Cina, India, Kadazan atau pengundi Iban,” katanya.-Roketkini.com