Berita

Siasat segera pegawai kerajaan palsukan bukti Pulau Batu Puteh

KUALA LUMPUR, 8 NOVEMBER: Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng menggesa kerajaan mendedahkan identiti pegawainya yang menghantar bukti palsu kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

“Ada laporan mengatakan sekeping gambar palsu yang “distorter, doctored atau concocted” telah dikemukakan sebagai bukti oleh pihak Malaysia ketika perbicaraan kes itu di mahkamah ICJ.

“Oleh itu, saya minta Perdana Menteri menjawab sama ada benar gambar itu digunakan oleh negara kita sebagai bukti di perbicaraan Pulau Batu Puteh itu. Saya mahu Perdana Menteri jawab YA atau TIDAK! Sekiranya benar, saya minta diberitahu pihak siapa yang kena bertanggungjawab dalam gambar palsu dikemukakan sebagai bukti ini,” katanya ketika perbahasan Bajet 2014 di Dewan Rakyat, semalam.

Menurut laporan media, delegasi Malaysia ke ICJ telah diketuai oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Kontroversi Pulau Batu Puteh timbul apabila baru-baru ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap Abdul Gani dengan menuduh beliau menyembunyikan beberapa fakta mengenai perkara itu.

Sedangkan pada 2008 setelah mahkamah memutuskan Pulau Batu Puteh milik Singapura, Mahathir menyifatkan keputusan mahkamah berpihak kepada Singapura itu memandangkan peguam negara yang dihantar Malaysia tidak begitu dikenali.

Justeru, bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim telah mengemukakan satu Akuan Bersumpah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meminta supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan untuk menyiasat bagaimana Pulau Batu Puteh yang terletak lebih hampir dengan Malaysia boleh terlepas kepada Singapura.-Roketkini.com