Berita

Potong subsidi gas asli, laksana GST, bukti BN kerajaan ‘Barang Naik’

KUALA LUMPUR, 11 NOVEMBER: Ahli Parlimen DAP Kulai, Teo Nie Ching menuntut penjelasan kerajaan berhubung kenaikan tarif elektrik yang kononnya tidak dapat dielakkan kerana harga minyak, gas dan arang meningkat di seluruh dunia.

Beliau berkata, jika kenaikan tarif elektrik itu adalah benar, maka kehidupan rakyat akan berterusan terbeban di bawah pentadbiran tidak cekap BN.

“Sejak Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, BN telah meningkatkan harga bahan api dan gula. Harga petrol RON95 dan diesel sudah meningkat sebanyak 20 sen seliter berkuatkuasa 3 September lalu dan gula pula dinaikkan sebanyak 34 sen pada 26 Oktober lalu iaitu sehari selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan Bajet 2014.

“Walaupun BN menyatakan tidak akan menaikkan harga elektrik dalam tempoh 18 bulan harganya tetap terjejas bermula 1 April 2015 selepas pelaksanaan 6 peratus Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST),” katanya dalam kenyataan

Beliau berkata demikian merujuk kepada pendedahan Pengarah Jabatan Kawal Selia Pembekalan dan Pasaran Elektrik, Azhar Omar dalam forum bertajuk ‘Pembaharuan dalam Sektor Elektrik Semenanjung Malaysia’, 7 November lalu yang menyatakan peningkatan tarif elektrik tidak dapat dielakkan di Malaysia.

Dalam pembentangan Bajet 2014, Najib menyebut bahawa GST tidak membebankan 200 unit elektrik pertama setiap bulan untuk pengguna domestik

Namun, Nie Ching yang juga Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP menegaskan, dalam erti kata lain pembentangan Najib itu adalah isi rumah dengan bil elektrik lebih daripada RM43.60 tidak boleh mengelak daripada membayar GST mulai 1 April 2015.

“Bukan sahaja isi rumah, malah pengguna industri dan perdagangan juga tidak dapat lari daripada inflasi. Perniagaan mereka akan terjejas walaupun jualan tahunan mereka kurang daripada RM500 ribu termasuk gerai mamak dan pasar malam,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau turut menempelak dakwaan Menteri Kesihatan, Dr S Subramaniam baru-baru ini yang menyatakan pelaksanaan GST tidak akan memberi kepada kos penjagaan kesihatan.

“Apakah beliau tidak memahami apa itu GST atau menafikan fakta mengenai kenaikan tarif elektrik akan memberi kesan kepada kos penjagaan kesihatan hospital kerajaan dan swasta. Saya ingin bertanya, bagaimana pengurusan hospital boleh menampung kos ini?,” soalnya.

Tambahnya lagi, peningkatan tarif elektrik ini juga akan menyebabkan sekolah bantuan kerajaan turut menjadi mangsa.

“Setakat ini, BN hanya memberi subsidi sebanyak RM2,000 untuk bil utiliti sekolah ini.

“Jika Kementerian Pendidikan tidak mengkaji semula dasar, ia juga akan memberi kesan terutama sekolah yang mempunyai jumlah pelajar berlebihan.

“Sekali lagi saya tegaskan, pemotongan subsidi gas asli dan peningkatan tarif elektrik sememangnya memberi kesan terhadap pelbagai bidang seperti penjagaan kesihatan dan pendidikan, jadi tidak boleh dipersoalkan lagi bahawa BN adalah kerajaan ‘Barang Naik’,” tegasnya. -Roketkini.com