Berita

DAP pertikai bantuan JKM kepada OKU pribumi Sabah, Sarawak berkurangan

KUALA LUMPUR, 11 NOVEMBER: DAP mempertikai kerana mendapati bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada Orang Kurang Upaya (OKU) membabitkan pribumi di Sabah dan Sarawak berkurangan begitu mendadak kebelakangan ini.

Ahli Parlimen DAP Batu Gajah V Sivakumar berkata, ini terbukti berdasarkan jawapan Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat iaitu seramai 1,608 OKU pribumi Sabah menerima bantuan JKM pada 2011 dan berkurangan kepada 27 orang pada 2012.

“Macam mana pengurangan begitu ketara boleh berlaku. Apa terjadi kepada 1,581 OKU pribumi Sabah yang menerima bantuan pada 2011 dan tidak menerima bantuan itu pada 2012,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Sivakumar juga menunjukkan statistik penerima bantuan OKU bagi 2011, 2012 dan sehingga Mei 2013.

Katanya, pada 2011, seramai 54,690 OKU berbangsa Melayu menerima bantuan JKM diikuti Cina seramai 17, 249 dan India seramai 10,023 orang.

“OKU pribumi Semenanjung Malaysia yang menerima bantuan JKM ialah 162 orang, manakala OKU daripada kalangan pribumi Sabah dan Sarawak yang menerima bantuan JKM adalah masing-masing 1,608 orang dan 2,649 masing-masing.

“Sejumlah 88,814 OKU menerima bantuan daripada JKM pada 2011 dan
pada 2012 seramai 62, 680 OKU Melayu, OKU Cina seramai 21,850 orang dan OKU India seramai 12,933 orang.

“Ada sedikit peningkatan jumlah OKU pribumi Semenanjung yang menerima bantuan JKM iaitu daripada 162 orang pada 2011 kepada 180 orang pada 2012,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi DAP Perak itu berkata, terdapat pengurangan mendadak jumlah OKU yang menerima bantuan itu bagi pribumi Sabah, manakala pribumi Sarawak ada sedikit peningkatan sebanyak 211 orang menjadikan jumlah 644 orang pada 2012.
Katanya, jumlah OKU yang menerima bantuan JKM pada keseluruhannya ialah 101,198 orang pada 2012 dan sehingga Mei 2013, seramai 64, 916 OKU Melayu atau 64.64%, OKU Cina (21,733 atau 21.64%) dan India (13,312 atau 13.25%) menerima bantuan JKM.

“OKU pribumi Semenajung pula seramai 170 orang, OKU pribumi Sabah (28 orang), OKU pribumi Sarawak (8 orang atau 0.01%.

“Pada 2011 seramai 2,649 OKU dan 2012 seramai 2,884 OKU pribumi Sawarak menerima bantuan JKM. Jumlah keseluruhan OKU menerima bantuan JKM sehingga Mei 2013 ialah seramai 100,434 orang,” katanya.-Roketkini.com