Berita

DAP gesa Najib, kerajaan boikot mesyuarat CHOGM, tanda bantah pembunuhan di Sri Lanka

KUALA LUMPUR, 12 NOVEMBER: DAP menggesa kerajaan agar bersama negara lain seperti Kanada dan India memboikot sidang kemuncak Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) sebagai membantah pencabulan hak asasi di Sri Lanka.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pemulauan kerajaan daripada menyertai CHOGM yang akan berlangsung antara 15 dan 17 November ini sekaligus memberi isyarat kepada dunia bahawa Malaysia membantah keras pembunuhan etnik Tamil di Sri Lanka.

“Saya harap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan mengikut contoh negara berkenaan membantah apa yang berlaku di Sri Lanka itu.

“Dengan memboikot CHOGM, ia akan memberi mesej jelas dan kuat kepada Colombo bahawa Malaysia bersama masyarakat antarabangsa termasuk Komanwel tidak sekali-kali bertolak ansur dengan pencabulan hak asasi manusia,” katanya yang juga Ahli Parlimen DAP Bagan pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Stesen televisyen British, BBC, Ahad lalu melaporkan bahawa Perdana Menteri India, Manmohan Singh memutuskan memboikot sidang kemuncak CHOGM di bawah tekanan domestik yang semakin meningkat akibat salah laku di Sri Lanka terutama daripada ahli politik Tamil.

Akhbar antarabangsa, Guardian pula melaporkan Perdana Menteri Kanada, Stephen Harper bulan lalu bukan sahaja memboikot, malah menegaskan pembunuhan kejam di Sri Lanka tidak boleh diterima dan beliau turut membidas kerajaan terbabit yang melambatkan proses siasatan.

Pada sidang media berasingan, Ahli Parlimen DAP Batu Gajah, V Sivakumar turut kesal berhubung jawapan yang diberikan Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Hamzah Zainudin mengenai CHOGM pada perbahasan sidang Parlimen, semalam.

“Menteri Luar Negeri itu mengambil keputusan bahawa kerajaan akan menghadiri mesyuarat CHOGM walaupun mendapat tentangan daripada pelbagai pihak.

“Saya dan rakan Pakatan Rakyat sungguh kecewa dengan keputusan kerajaan Malaysia sebab kami semua tahu apa yang berlaku di sana mengakibatkan ratusan ribu orang dibunuh dan dizalimi kerajaan Sri Lanka,” katanya.

Sivakumar yang juga Setiausaha Antarabangsa Kebangsaan DAP menyifatkan alasan Hamzah bahawa tujuan kehadiran itu adalah untuk menyambut usaha kerajaan Sri Lanka yang mahu memperbaiki keadaan sebagai tidak munasabah sama sekali.

“Apa maksudnya memperbaiki keadaan? kemusnahan dan kezaliman telah berlaku.

“Mereka juga (kerajaan Sri Lanka) sendiri sehingga kini tidak mengaku kesalahan yang dilakukan terhadap etnik Tamil, orang Muslim, kanak-kanak dan lain-lain,” ujarnya. -Roketkini.com