Berita

DAP gesa kerajaan titikberatkan pendidikan OKU

KUALA LUMPUR, 12 NOVEMBER: DAP menggesa kerajaan menitikberatkan pendidikan Orang Kurang Upaya (OKU) di negara ini yang terabai dengan memberi peruntukan yang lebih serta memperbanyakkan institusi pendidikan bagi golongan berkenaan.

Berucap pada perbahasannya baru-baru ini, Ahli Parlimen DAP Bakri, Er Teck Hwa membangkitkan persoalan adakah kerajaan bersedia membina satu sekolah khas bagi anak-anak yang menghidap kelumpuhan otak (cerebral palsy) di negara ini memandangkan begitu banyak peruntukan disediakan untuk bidang pendidikan.

“Saya mengambil maklum bahawa terdapat satu NGO iaitu Hope To Walk, yang sedang memperjuangkan hak pendidikan kepada anak-anak kecil yang menghidapi kelumpuhan otak. Adakah kita sudah bersedia untuk membina satu sekolah khas bagi anak-anak yang menghidap kelumpuhan otak di negara ini,” soalnya.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari pula mempertikaikan status penubuhan projek perintis taska OKU bagi enam kategori kanak-kanak OKU sepertimana yang dibentangkan dalam Belanjawan 2013 lalu.

“Perdana Menteri mencadangkan penubuhan projek perintis taska OKU bagi enam kategori kanak-kanak OKU yang merangkumi down syndrome, autisme, penglihatan, pekak dan bisu, fizikal dan masalah pembelajaran.

“Ini adalah satu projek yang sangat penting, sekiranya kita mahu memastikan matlamat `tiada anak yang ketinggalan’ itu dicapai. Malangnya, projek perintis ini sudah lenyap daripada pengetahuan awam,” katanya ketika membahaskan Bajet 2014.-Roketkini.com