Berita

Kerajaan rompak peruntukan pembangunan RM1 juta PR, salur kepada ketua UMNO bahagian

KUALA LUMPUR, 12 NOVEMBER: Pakatan Rakyat (PR) hari ini mengecam tindakan tidak bertanggungjawab Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen PR kepada Ketua UMNO bahagian.

Ahli Parlimen DAP Batu Kawan, Kasthuri Patto berkata, peruntukan itu tidak sepatutnya diletak di bawah bidang kuasa Pegawai Pembangunan Negeri (SDO) bagi setiap negeri sedangkan tiga negeri diperintah PR.

Namun, menurutnya, ia amat mendukacitakan apabila mendapati tidak ada Ahli Parlimen PR yang berjaya mendapat kelulusan SDO dan lebih mengecewakan apabila peruntukan itu disalurkan kepada Ketua UMNO bahagian yang kawasan Parlimen itu dimenangi PR.

“Pendirian yang menjijikkan ini sudah lama membarah dan hakikatnya semua rakyat terus dianiayai rejim UMNO/BN yang jika tak henti-henti merompak wang rakyat secara tidak sah.

“Kami (PR) yang dipilih rakyat berhak mendapat peruntukan secara langsung tanpa perlu melalui SDO. 51 peratus pembayar cukai yang mengundi PR juga berhak dan penyaluran wang rakyat kepada Ketua UMNO bahagian dianggap satu pengkhianatan kepada rakyat.

“PR mahu peruntukan pembangunan mesti disalurkan kepada rakyat, bukannya kepada BN dan Ahli Parlimen PR akan menggunakan peruntukkan untuk pembangunan mengikut atas keperluan serta keutamaan masyarakat,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim semalam menyatakan bahawa kerajaan memang mengagihkan peruntukan sejumlah RM1 juta sejak 22 Mei lalu bagi semua Ahli Parlimen termasuk Ahli Parlimen PR.

Tegas Kasthuri, amat mengecewakan apabila 51 peratus rakyat sudah menolak UMNO/BN tapi wang rakyat diambil mereka yang terbukti mempunyai ‘track record’ 56 tahun memecah amanah.

Tambahnya, di manakah transformasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaannya jika ideologi politik kolot masih dipegang sebagai ‘life line’.

“Impian dan harapan rakyat terus dicabuli, dirompak dan disapu dan dimasukkan ke dalam kantung mereka. Berapa lama lagi Najib dan konco-konconya akan terus menyeleweng serta memboroskan titik peluh rakyat,” soalnya.

Turut sama pada sidang media itu ialah Ahli Parlimen PAS Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof dan Ahli Parlimen DAP Batu Gajah, V Sivakumar.

Pada masa sama, Siti Zailah juga menyelar tindakan itu yang sekaligus menganaktirikan negeri di bawah pentadbiran PR.

“Peruntukan ini dipergunakan UMNO, walhal kawasan itu dinaungi PR. Penggunaan wang ini tidak ada rundingan langsung dengan kami.

“Bagaimana kami mahu menjalankan tugas jika peruntukan ini yang sepatutnya diberikan untuk membantu memenuhi keperluan rakyat seperti pembangunan infrastruktur, sekolah dan sebagainya jika mereka terus berkelakuan begini. Akhirnya rakyat terus dihantui dengan masalah tanpa sebarang penyelesaian,” kesalnya.-Roketkini.com