Berita

PR kecam cadangan DBKL naikkan cukai taksiran sehingga 267 peratus, bebankan warga kota raya

KUALA LUMPUR, 13 NOVEMBER: Pakatan Rakyat (PR) mengecam tindakan tidak bertanggungjawab Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menaikkan kadar taksiran dan cukai hartanah bandar itu sehingga 267 peratus berkuatkuasa 1 Januari 2014.

Ahli Parlimen DAP Kepong, Dr Tan Seng Giaw berkata, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Phesal Talib tidak seharusnya membenarkan kenaikan secara drastik berlaku kerana ia akan memberi masalah kepada penduduk kota yang sememangnya sudah bergelut dengan kos sara hidup tinggi.

“Kami mengetahui kadar taksiran perlu dinilai daripada semasa ke semasa tapi yang penting ia harus adil dan munasabah kepada semua pihak.

“Datuk Bandar dan Menteri Wilayah Persekutuan perlu mengkaji semula dan mempertimbang dengan seadil-adilnya sebelum membuat keputusan berhubung kadar ini sebelum melaksanakannya,” tegasnya pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Ahli Parlimen PKR Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar pula menganggap keputusan drastik itu akan melanjutkan lagi beban penduduk apabila Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan, ditambah pula dengan pelbagai pemotongan subsidi.

“Kalau kita lihat, mantan Datuk Bandar sebelum ini, beliau menambah pulangan hasil kepada DBKL tanpa menaikkan cukai taksiran. Beliau tidak mahu menambah beban kepada warga Kuala Lumpur.

“Tapi malangnya, Datuk Bandar yang baru bila dalam sesi dialog bersama kami dan menteri tidak ada sepatah pun penjelasan atau makluman bahawa cukai taksiran akan dinaikkan.

“Pada saya ini langsung tidak boleh diterima pakai, kenaikan dibuat apabila GST akan diperkenalkan pada 2015 dan subsidi dipotong. Di manakah ketelusan dan tanggungjawab DBKL serta Menteri Wilayah Persekutuan?,” soalnya.

Pada masa sama, Ahli Parlimen DAP Cheras, Tan Kok Wai menyatakan beliau turut menerima laporan bahawa kadar cukai taksiran telah meningkat secara sewenang-wenangnya sebagai contoh sebuah rumah sama dihuni dijalan sama telah mencanak dengan kadar berbeza sehingga lebih daripada RM1,000.

Tambahnya, kesan kepada rantaian peningkatan cukai secara drastik ini akan memberi kesan besar kepada orang ramai dengan tuan tanah tentunya akan meningkatkan kadar sewa untuk mengurangkan kesan kenaikan. -Roketkini.com