Berita

Mural Zachas kembali muncul di beberapa lokasi sekitar JB

JOHOR BAHRU, 14 NOVEMBER: Beberapa mural baru dilakar kembali pada dinding tembok di sekitar bandaraya Johor Bahru (JB) tidak sampai sehari selepas mural ‘jenayah tinggi’ oleh Ernest Zacharevic dipadamkan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).

Menariknya, mural yang menggambarkan kadar jenayah tinggi di JB itu bukan setakat muncul semula di tempat asal iaitu di Taman Molek tetapi merebak ke beberapa lokasi lain.

Daripada gambar yang dimuat naik dalam internet, kedua-kedua mural berbentuk LEGO iaitu seorang wanita dengan beg tangan berjenama Chanel dan seorang perompak yang memegang pisau kini dikesan di tiga lokasi berasingan di ibu negeri Johor itu.

Bagaimanapun, mural itu tidak lagi dicat seperti sebelum ini tetapi ditampal menggunakan pelekat.

“Malam tadi, selepas seorang menampal mural itu ia turut muncul di lokasi lain,” kata aktivis, Koh Wee Sun dalam laman Facebooknya.

Artis tempatan sebelum ini juga menambah lukisan seorang anggota polis dalam bentuk LEGO di sebelah perompak untuk menyelamatkannya daripada dibersihkan MBJB.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berpendapat mural ‘jenayah tinggi’ Zachas itu tidak sepatutnya dihapuskan, sebaliknya dikekalkan sebagai cabaran kepada pihak berkuasa supaya menjadikan JB rendah jenayah dan testimoni kadar jenayah yang tinggi di bandaraya itu ‘hanya tinggal dalam lipatan sejarah’.

Bagaimanapun, katanya, satu-satunya cara bagi menghilangkan ‘sengatan’ mural Zachas itu ialah menghapuskan reputasi JB sebagai pusat jenayah negara sehingga mural itu boleh dianggap sebagai tanda kejayaan transformasi JB menjadi sebuah bandaraya selamat.

“Gambaran pada mural Zachas itu tidak akan menyengat jika kadar jenayah di bandaraya itu tidak tinggi.

“Mural Zachas menonjolkan keadaan sebenar yang tidak menyenangkan dan mencerminkan keadaan semasa yag menyedihkan mengenai kadar jenayah yang tinggi di bandaraya itu,” katanya dalam kenyataan media, beberapa hari lalu.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen DAP Gelang Patah, berkata bandaraya JB dan penduduknya akan meraih faedah lebih besar jika tenaga yang mereka gunakan untuk berdebat mengenai apa yang perlu dilakukan terhadap mural jenayah tinggi di sana disalurkan ke arah mengurangkan kadar jenayah.

“Apakah pihak berkuasa berkenaan mampu menganggap komentar tentang kadar jenayah yang tinggi itu sebagai satu cabaran dan inspirasi untuk menggembeleng usaha semua pihak dengan sokongan penduduk JB untuk menurunkan kadar jenayah.

“Langkah itu akan menjadi respons lebih kreatif dan positif terhadap mural ‘jenayah tinggi’ Zachas dan akan membuatkan JB lebih terkenal berbanding mengekalkan dua rekod iaitu mural ‘jenayah tinggi’ Zachas dan mural yang dipadamkan pihak berkuasa dalam keadaan kadar jenayah masih tinggi atau meningkat sehingga menghantui penduduk,” ujarnya.

Kit Siang turut menyatakan, rakyat Malaysia yang waras akan bersetuju dengan Zacharevic bahawa ‘Seni tidak mencemarkan citra sesebuah kota, sebaliknya yang mencemarkannya adalah jenayah’.-Roketkini.com