Rencana

Najib, ekstrimisme dan masyarakat damai – mampukah BN? Oleh Teresa Kok, Naib Pengerusi DAP Kebangsaan

Susunan: Hafiz Zainuddin

SAMPAI bila rakyat Malaysia perlu hidup dalam dilema, merasa terancam antara satu sama lain, takut dan marah sesama sendiri? Sampai bila rakyat Malaysia perlu terus dibiarkan dihasut oleh anasir ekstrimisme agama dan bangsa yang akhirnya mampu mengundang perkara yang tidak diingini? Salah faham dan fahaman radikal serta ekstrimisme agama ini perlu dihentikan segera.

Saya percaya, masyarakat Malaysia yang lama selesa hidup dalam keamanan tidak boleh membiarkan radikalism atau seumpamanya. Kita tidak mahu perpaduan kaum yang menjadi tunjang utama kemajuan dan keamanan Malaysia lemah dan akhirnya menguntungkan pihak yang menangguk di air keruh.

Apa jua isu sensitif yang timbul perlu ditangani dengan bijaksana, berhemah dan sudah tentu harus diwacanakan secara sihat. Melalui ini kefahaman dapat disemai. Akan tetapi, di saat Malaysia menuju ke sebuah negara maju, ada pihak yang terus mengapi-apikan kebencian dan menyebarkan kefahaman yang salah di kalangan masyarakat berbilang kaum negara ini. Lebih menghairankan, kerajaan Barisan Nasional (BN) dilihat seolah-olah merestui perbuatan mereka.

“Najib cakap betul, tapi…”

Semalam ketika menyampaikan ucaptama di Asian Peace and Reconciliation Council/ISIS Malaysia: Dialouge on Diversity, Diplomacy and Peace yang diadakan di Kuala Lumpur, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggesa “majoriti senyap” negara untuk menenggelamkan suara ekstremisme. Beliau berkata, kepelbagaian masyarakat yang ada dalam negara ini harus dirayakan dan hak untuk hidup bersama perlu dipertahankan.

Saya bersetuju dengan pendapat Perdana Menteri itu yang menyeru rakyat negara ini menolak ekstrimisme. Cuma persoalan yang timbul ialah, adakah beliau benar-benar jujur seperti kata pepatah, cakap serupa bikin?’

Persoalan ini timbil apabila pentadbirannya sendiri seolah-olah membiarkan suara-suara sumbang perkauman dan ekstrimisme terus bergema malah dipropagandakan melalui media cetak dan elektronik terus kepada masyarakat.

Saya ingin memberikan tiga contoh:

Najib terus membisu apabila Utusan Malaysia menerbitkan bahan berita dan artikel berbaur perkauman, provokatif dan sangat tidak bertanggungjawab selepas Pilihan Raya Umum ke-13, 5 Mei lalu.

Beliau juga terus membisu apabila bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah memberi amaran kepada masyarakat Cina supaya bersedia menerima sebarang tindak balas daripada orang Melayu akibat “mengkhianati” BN.

Mohd Noor juga dilaporkan berkata orang Cina juga mengkhianati persahabatan dengan orang Melayu, mereka membuat tipu daya untuk merampas kuasa politik walaupun telah menguasai ekonomi.

Dalam konteks ini, soalan saya, adakah teman-teman daripada PKR dan PAS semuanya bukan Melayu? Saya ingin mengambil contoh di Terengganu bila mana kerusi majoriti Melayu yang dahulunya kerusi UMNO-BN berjaya dimenangi PAS. Adakah ia bermakna Melayu mengkhianati Melayu?

Bagaimana pula dengan penolakan lebih dua dekad masyarakat Kelantan terhadap UMNO? Adakah mereka mengkhianati Melayu? Persoalan ‘pengkhianatan’ seumpamanya ini tidak layak ditimbulkan langsung.

Pada 18 Oktober baru-baru ini, Presiden Perkasa, Ibrahim Ali pula mengeluarkan kenyataan bahawa penganut Kristian yang berjuang untuk menggunakan perkataan Allah menunjukkan tuhan mereka tidak mempunyai nama. Dalam Persidangan Perkasa Selangor 17 Oktober 2013 sebelum itu, Ibrahim juga menggesa Perdana Menteri mengharamkan Alkitab Berbahasa Kebangsaan.

Dalam satu kenyataan pada 19 Oktober kemudiannya, saya berkata bahawa rakyat Malaysia tidak terkejut dengan kenyataan provokatif Ibrahim yang memang berkeupayaan mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Soalan saya, mengapa kerajaan tidak bertindak terhadap golongan ini?

Sekali lagi saya ingin mengulangi sokongan saya terhadap kenyataan bekas Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang berkata “kerajaan yang takut untuk menangani politik kebencian tidak layak mendapat sokongan.”

Kita tidak mahu Perdana Menteri hanya bercakap sahaja untuk membungkam suara-suara ekstrimisme dan radikalisme, kita mahu beliau bertindak demi keamanan dan kemaslahatan semua pihak.-Roketkini.com