Berita

DAP kesal UMNO anggap polis “pak guard”

KUALA LUMPUR, 14 NOVEMBER: Tindakan UMNO memperalatkan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai “pak guard” bagi membantu pemilihan parti itu adalah satu penghinaan yang memalukan pasukan keselamatan negara.

Malah, tindakan menyimpan kertas undi pemilihan parti itu di Ibu Pejabat Polis Daerah dalam bahagian UMNO masing-masing satu lagi perkara yang amat tidak wajar.

Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata demikian ketika merujuk kepada soalan Parlimennya dan satu laporan Berita Harian.

“Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab Rauf Yusof sendiri mengatakan lebih empat juta kertas undi dikeluarkan bagi pemilihan jawatan utama Majlis Tertinggi UMNO dan penghantaran kertas undi ke tempat pemilihan dibantu oleh PDRM.

“Jelas, UMNO memperalatkan PDRM untuk menjadi “pak guard” bagi pemilihan parti mereka. Namun Menteri yang bertanggungjawab tidak memberi maklumat yang tepat.

“Adakah Menteri tidak berani mendedahkan maklumat sebenar atau sejauh mana PDRM dan sumber kerajaan lain digunakan untuk menyokong aktiviti politik UMNO?,” soal beliau dalam satu kenyataan.

Katanya, sikap menteri berkenaan menunjukkan beliau tidak jujur terhadap soalan Parlimen dengan hanya menyatakan bahawa pembabitan PDRM dalam aktiviti itu hanya untuk mengawal trafik dan keselamatan pemimpin luar negara yang menjadi tetamu.

“Apa yang dikatakan menteri bercanggah dengan kenyataan Setiausaha Kerja UMNO pada 29 September lalu.

“Menteri jelas sekali samada tidak tahu menahu mengenai perkara itu atau tidak diberikan maklumat sebenar atau tidak jujur,” katanya yang juga Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAPSY.-Roketkini.com