Rencana

Beruk melompat di Parlimen? – Oleh Steven Sim

Ada perkara pelik berlaku di Parlimen semalam.

Pada sebelah pagi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nancy Shukri membentangkan usul untuk menggantung Ahli Parlimen Padang Serai N Surendran selama enam bulan kerana menghina Speaker Pandikar Amin Mulia. Surendran telah diusir daripada Dewan pada hari sebelumnya kerana enggan berhenti membentangkan usul perobohan kuil Sri Muneswarar Kaliyaman yang berusia 101 tahun.

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat membalas dengan berdiri dan mengoyakkan notis usul serta cuba untuk menghalang pembentangan usul terbabit. Mereka memanggilnya “usul haram”.

Pada sebelah petang pula, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh membentangkan usul untuk “mengagihkan semula” gaji lima penasihat bertaraf menteri, iaitu Rais Yatim, Noh Omar, Shahrizat Abdul Jalil, Johari Baharom dan Hasbi Habibollah.

Ahli Parlimen Barisan Nasional juga berdiri dan mengoyakkan notis usul serta cuba menghalang pembentangan usul itu. Mereka juga memanggilnya usul haram.

Kelakuan “membalas balik” antara dua pihak menyebabkan perbuatan keduanya dikutuk sesetengah pemerhati kerana tidak matang dan berkelakuan seakan beruk di dalam Parlimen.

Tetapi adakah kedua-kedua aksi terbabit sama?

Anda pernah dengar cerita seseorang yang memesan kopi tanpa susu di sebuah kedai kopi? Pelayan memberitahu bahawa kedai itu kehabisan susu, namun memandangkan mereka mempunyai gula, maka bolehlah memesan kopi tanpa gula.

Kopi tanpa susu dan kopi tanpa gula: kedua-duanya merupakan kopi hitam. Akan tetapi, penyangkalan itu cukup penting. Kes sebegini disebut orang sebagai “serupa tapi tak sama”.

Satu lagi contoh yang mungkin lebih baik: orang kaya yang berdiet dan orang miskin yang kebuluran. Kedua-duanya kelaparan, tapi sebabnya amat berbeza.
Apakah sebab di sebalik tingkah laku blok Kerajaan BN dan Pakatan Rakyat?

Sebab Pakatan Rakyat menolak usul kerajaan

Pada mulanya beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat bangun untuk mengemukakan hujah, antaranya Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang telah mengutarakan tiga sebab mengapa usul Nancy Shukri harus ditolak:

1) ia tidak mematuhi peraturan mesyuarat no.27, iaitu notis satu hari.

2) Speaker mesti berpuas hati bahawa sesuatu notis satu hari mempunyai kepentingan awam – yang jelas tidak wujud dalam kes Surendran – sebelum boleh membenarkan notis itu yang sepatutnya memakan masa seminggu untuk dibenarkan untuk didebat. Kalaupun kepentingan awam terbabit, hal ini harus dirujuk kepada jawatankuasa hak dan keistimewaan.

3) memandangkan Speaker yang ‘dihina’ merupakan Speaker yang pada masa yang sama membenarkan usul ‘menghina Speaker’, maka terdapat konflik kepentingan yang jelas.

Sebab Barisan Nasional menolak usul Pakatan Rakyat

Apa pula sebab Barisan Nasional menolak usul Fuziah Salleh?

Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Mokhtar, mendakwa bahawa usul Fuziah mempunyai kesilapan dalam menamakan jawatan Hasbi Habibollah sebagai Penasihat Pembangunan Sarawak, yang sepatutnya disebut sebagai Pengerusi Perlembagaan Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sarawak.

Penjelasan kemudian dibuat kepada Dewan Rakyat bahawa kesilapan penamaan itu berada dalam dokumen sampingan, bukan notis usul, dan ini sepatutnya tidak menjejaskan kesahihan usul berkenaan.

Sandiwara oleh kedua-dua pihak?

Usul BN bertujuan menggantung seseorang Ahli Parlimen kerana membawa usul mengenai perobohan kuil Hindu berusia 101 tahun.

Usul Pakatan Rakyat bertujuan mengagih semula gaji yang dibayar kepada pelantikan politik khas dalam Jabatan Perdana Menteri oleh BN yang berjumlah RM1.6 juta setahun.

Penolakan Pakatan Rakyat terhadap usul Barisan Nasional adalah kerana percanggahan penting dan ketidakadilan dalam usul itu.

Penolakan Barisan Nasional terhadap usul Pakatan Rakyat adalah kerana terdapat kesilapan penamaan.

Terpulanglah kepada rakyat untuk menilai ‘sandiwara’ BN dan PR dalam Parlimen semalam: pihak manakah yang cuba untuk membantah atas sebab yang benar dan kukuh, dan pihak manakah yang berkelakuan seperti monyet yang meniru aksi yang dilihatnya?

Steven Sim merupakan Ahli Parlimen Bukit Mertajam. Beliau turut berdiri dan mengoyakkan usul Nancy Shukri semalam. – Roketkini.com