Berita

DAP lancar tabung kemanusian ‘Derma Untuk Filipina’, bantu mangsa taufan Haiyan

KUALA LUMPUR, 15 NOVEMBER: DAP hari ini melancarkan tabung kemanusiaan ‘Derma Untuk Filipina’ bagi membantu mangsa taufan Haiyan yang meragut 10,000 nyawa di negara itu baru-baru ini.

Tabung kemanusiaan yang dilancarkan jam 11 pagi ini dan akan disalurkan kepada empat badan bukan kerajaan (NGO) Filipina dengan mensasarkan kutipan sebanyak RM250,000 dalam masa dua minggu.

Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching berkata, tabung ini dilancarkan atas rasa tanggungjawab, simpati dan solidariti terhadap tragedi yang menimpa negara jiran itu.

“Kami mengucapkan takziah kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga dan rakan-rakan. Di saat sukar ini, kami mengharapkan rakyat Malaysia turut bersimpati dan menghulurkan sumbangan agar dapat membantu mangsa tragedi.

“Sasaran kutipan sebanyak RM250,000 atau lebih itu akan disalurkan kepada NGO di Filipina untuk membantu operasi bantuan di beberapa kawasan yang paling teruk terjejas. Marilah kita berganding bahu membantu mereka yang kurang bernasib baik di sana.

“Kami juga akan mempromosikan kempen ini secara aktif dalam laman Facebook DAP Malaysia,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kebangsaan DAP.

Turut hadir pada majlis pelancaran tabung kemanusiaan itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Tabung Kemanusiaan, Rajiv Rishyakaran; Setiausaha Antarabangsa Kebangsaan DAP, V Sivakumar dan isteri Rajiv, Ana Gella Opong yang berasal dari Iloilo, Filipina.

Taufan Haiyan yang melanda Filipina mengakibatkan kira-kira 10,000 penduduk terjejas dengan bilangan dijangka akan terus meningkat. Pelbagai negara dan agensi kemanusiaan antarabangsa telah menghantar bantuan ke negara berkenaan.

Bagaimanapun, kebanyakan operasi bantuan hanya memberi tumpuan kepada kawasan seperti Leyte, Tacloban dan Ormoc sahaja, ini menyebabkan pulau lain yang turut terjejas seperti Iloilo tidak diberi perhatian.

Rajiv pula menyatakan, walaupun banyak bantuan disalurkan dari pelbagai pihak namun tabung kemanusiaan DAP agak berbeza daripada yang lain kerana memfokuskan kawasan Iloilo.

“Tanpa diketahui ramai, kampung di Utara Iloilo juga terjejas teruk, di mana operasi bantuan lambat sampai dan terhalang oleh kekurangan akses pengangkutan akibat pokok tumbang dan tiang elektrik yang menyekat jalan raya.

“Jadi kami amat berharap sumbangan daripada anda, tidak kira berapa jumlahnya, sama ada kecil atau besar kerana masih ramai yang memerlukan bantuan.

Semua sumbangan yang diterima akan disalurkan kepada One Meal Foundation, Northern Iloilo Christian Cooperative (NICC), Ateneo De Iloilo dan Gawad Kalinga-Iloilo (GK-Iloilo)

Orang ramai yang mahu memberi sumbangan boleh menghantarnya ke akaun Public Bank DAP Malaysia bernombor 3063828309.-Roketkini.com